Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Haramkan gerakan Millah Abraham
Diterbitkan:  Apr 17, 2017 7:02 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Polis mencadangkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) supaya mengharamkan gerakan ajaran Millah Abraham di negeri itu.

Portal Berita Harian Online memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sebagai berkata syor itu sudah dimaklumkan kepada JHEAINS dan dirujuk kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Mahiruddin, untuk tindakan lanjut.

"Gerakan Millah Abraham dilihat sebagai menyimpang daripada ajaran Islam.

"Gerakan ini belum diharamkan di Sabah dan polis mengesyorkan pengharaman itu supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan segera," katanya yang dipetik portal itu.

Gerakan Millah Abraham tersebut dikatakan sesat kerana menganggap orang lain yang belum dibai’at kafir.

Dalam ajarannya, mereka hanya melakukan solat malam, tanpa solat lima waktu.

Pada dasarnya mereka mengaku pengikut Nabi Ibrahim. Mereka mencampuradukkan Islam, Kristian, dan Yahudi.

Menurut Khalid, polis hanya menunggu keputusan Yang di-Pertua Negeri untuk pengharaman dalam tempoh terdekat dan yakin persetujuan dapat dicapai bagi menyekat ajaran songsang itu daripada terus berleluasa di Sabah.

"Kita mendapati ajaran ini bertapak antara dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak.

"Kita perlu cepat kerana tidak mahu gerakan ini terus berleluasa," katanya.

Sebelum ini, Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman mendapati gerakan itu dikesan telah membeli banyak tanah di Sabah untuk dijadikan markas operasi mereka.

Pembelian tanah itu antaranya di Tuaran dan Simunjan, adalah dalam usaha untuk menubuhkan sebuah pemerintahan Islam atau Daulah Islamiah di rantau ini.

Lihat Komen
ADS