Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surat terbuka Raja Bahrin kepada Ahmad Amzad
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 10:58 AM
Dikemaskini: 3:16 AM

ULASAN l Saya mohon mengulas serangan dan tomahan AJK PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berhubung penulisan saya tentang ‘Usaha padam legasi Nik Aziz’ yang disiarkan di Malaysiakini pada 12 April lalu.

Pada permulaan serangan Ahmad Amzad beliau mengatakan saya hanya “sekali sekala” ke kuliah bekas Mursyidul Am PAS, Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan seolah-olah saya mentah tidak memahami sangat ajaran serta pemikiran Almarhum.

Adakah Ahmad Amzad mengetahui segala gerak-geri saya semenjak awal 1980an apabila saya pulang ke Terengganu dan berulang ke Masjid Pulau Melaka di Kelantan untuk hadir kuliah subuh Tok Guru Nik Aziz?

Semasa itu, Ahmad Amzad hanya berusia 12 tahun. Saya lebih selesa ke kuliah Masjid Tok Guru Pulau Melaka bersama dengan pelajar-pelajar dari Maahad Darul Anuar dalam ketenangan suasana di awal pagi.

Orang pertama yang saya zahirkan hasrat dan mohon restu doa sebelum menjadi ahli PAS adalah Tok Guru Nik Aziz, di Masjid Pulau Melaka. Tahukah wahai Ahmad Amzad yang berusia 12 tahun masa itu tentang dua perkara tersebut di atas?

Tidak mungkin di usia begitu muda Ahmad Amzad telah berupaya mengikuti pergerakan saya di Terengganu dan Kelantan.

Penggunaan perkataan “bohong” Ahmad Amzad terhadap penulisan saya adalah keterlaluan apabila dikira beliau menyatakan perkara-perkara yang beliau sendiri tidak mungkin mengetahui sejarah saya mendekati Tok Guru Nik Aziz sejak 1980an.

Saya mendekati Tok Guru bukan untuk mencari kedudukan atau pengaruh tetapi bagi menambah pengetahuan dan menjiwai ilmu Tok Guru yang penuh kebijaksanaan dan kelembutan serta hemahnya.

Kenyataan kononnya saya di panggil oleh Pengarah Penerangan PAS Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di rumah Ahmad Amzad khusus tentang isu PASMA dan pilihan raya kerajaan tempatan adalah tidak munasabah.

Perkara yang sebesar dan serius seperti itu sepatutnya di bawa ke mesyuarat PAS Kawasan Kuala Terengganu dan bukan mesyuarat sulit.

Kalau benar yang “kesalahan” saya terbukti kenapa tidak ada majlis yang sepatutnya dibuat melalui mesyuarat rasmi? Isu utama yang di timbulkan adalah tentang penulisan saya berkaitan “Legasi Nik Aziz” dan mereka tidak mahu ahli-ahli mesyuarat lain mengetahui teguran ini dibuat.

Lagipun saya pernah ditegur secara keras di mesyuarat PAS Kawasan Kuala Terengganu tidak lama selepas menjadi ahli parlimen di atas isu yang tidaklah begituserius. Jadi kenapa kali ini di buat cara sulit pula?

Beberapa bulan sahaja selepas dipilih menjadi ahli parlimen Kuala Terengganu saya pernah ditegur keras pada mesyuarat PAS Kuala Terengganu kerana kononnya tidak menjaga kawasan.

Saya baru sahaja selesai menghadiri sessi sidang Parlimen pertama saya dan sudah tentu banyak yang saya perlu pelajari tentang peraturan dan persiapkan keperluan untuk menjadi ahli parlimen yang berkesan dan bukan sekadar hadir tunjuk muka sahaja.

Kehadiran serta rekod ucapan saya di Parlimen yang tercatat secara rasmi boleh memberi gambaran jelas komitment saya.

Cemuhan Ahmad Amzad yang “hari ini saya berucap seorang di belakang Hilux tidak dipedulikan sesiapa”menunjukkan sikap yang kurang matang.

Seorang wakil rakyat mesti meletakkan khidmat menyampaikan maklumat sidang Parlimen sebagai keutamaan tugas penting tidak mengira berapa orang yang hadir.

Kita turun ke bawah mencari rakyat dan bukan minta rakyat datang menyembah kita. Kita sebagai wakil rakyat patut memperhambakan diri dan bukan hanya ingin berceramah di hadapan ribuan atau ratusan orang sahaja dengan kutipan wang melalui “koleksi dana”.

Rakyat mesti didahulukan. Sudah lupakah Ahmad Amzad pemimpin PAS terdahulu pernah berceramah dahulu di tempat-tempat dimana lagi banyak batang pokok dari orang semasa mula perjuangan dahulu?

Kenapa bermegah diri sekarang. Kenapa hendak diremehkan pendekatan ini di mana ia merupakan kebiasaan di Pantai Barat.

Ahmad Amzad tidak mengikuti perkembangan semasa. Ceramah-mini di atas Hilux di Shah Bandar dan Pantai Batu Buruk mendapat sambutan orang yang berhenti bertanya isu semasa.

Lagipun saya terpaksa mengadakan ceramah-ceramah ini kerana PAS Kawasan Kuala Terengganu tidak mengatur program ceramah seperti sepatutnya dan cara terancang!

Bolehkah Ahmad Amzad memberitahu berapakah ceramah PAS Kawasan Kuala Terengganu adakan setiap bulan semasa saya bersama PAS? Saya menanti-nanti program ceramah untuk turun bersama rakyat hingga saya terpaksa membuat program secara bersendirian.

Janganlah kita membesarkan diri sendiri dan pandang rendah orang yang berceramah walaupun di hadapan satu orang sahaja pun.

Rasulullah Nabi Muhammad SAW pun pernah berceramah serta berdakwah di hadapan beberapa orang sahaja walaupun Baginda seorang Nabi.

Siapakah kita, kalau dibandingkan dengan Rasulullah SAW yang sanggup berbuat demikian. Kenapa hendak diperlekehkan?

Jangan lupa diri asal usul sejarah semasa PAS baru bermula. Jangan pandang rendah rakyat yang inginkan maklumat semasa.

Umum maklum Ahmad Amzad mungkin akan menjadi calon dan Insya-Allah akan menjadi wakil rakyat suatu hari.

Janganlah dengan gelaran Yang Berhormat kita berkira di mana kita hendak berceramah dan berapa orang yang hadir. Keikhlasan untuk berdamping dan menyampaikan maklumat kepada rakyat patut diutamakan.

Sebagai hamba Allah kita patut merendahkan diri kita ke jalan Allah untuk rakyat yang perlu pembelaan.

Saya tetap dengan kenyataan saya yang memang ada usaha-usaha tertentu untuk memadamkan Legasi Nik Aziz.

Almarhum Nik Aziz memberi ruang dan peluang yang sama kepada golongan ulama serta profesional dan memberi perhatian kepada orang Islam dan bukan Islam.

Kepada Ahmad Amzad saya berharap beliau jangan menganggap kelulusan ilmu pendidikan semata-mata boleh melengkapkan diri kita menjadi sempurna.

Ilmu pendidikan betapa tinggi pun yang kita miliki, tidak boleh menandingi kebijaksanaan yang dianugerah hanya oleh Allah. Kerana itulah Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat adalah One In A Million – seorang dalam sejuta.

Almarhum memiliki ilmu yang tinggi, hidayah dan kebijaksanaan kurniaan Allah menjadi pemimpin contoh Islam Rahmatan Lil-Alamin.


RAJA BAHRIN SHAH adalah ahli Parlimen Kuala Terengganu dari AMANAH.

Tulisan ini pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS