Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK mahu Hishammuddin desak siasat Scorpene
Diterbitkan:  Apr 19, 2017 9:20 AM
Dikemaskini: 1:22 AM

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein perlu mengulas serta menjelaskan beberapa isu legasi di dalam portfolio beliau

Jelas beliau, ia termasuklah berkenaan skandal berbillion ringgit kapal selam Scorpene yang berlaku ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggalas jawatan menteri pertahanan.

"Skandal tersebut serta 1MDB telah mencemarkan reputasi negara di peringkat antarabangsa. Dua pegawai berkait perjanjian Scorpene juga telah didakwa oleh pihak berkuasa Perancis.

"Skandal 1MDB yang berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sudah pun mengundang tindakan undang-undang di Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia," katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menzahirkan keprihatinan berhubung potensi untuk berlakunya satu lagi skandal seperti Scorpene ekoran rancangan untuk memeterai perjanjian pertahanan baru dengan Perancis.

Ia ekoran lawatan selama dua hari oleh Presiden Perancis Francois Hollande ke Malaysia pada bulan lalu.

"Perlu diperhatikan bahawa ini lawatan peringkat presiden yang kedua dari Perancis ke Malaysia selepas lawatan Presiden Jacques Chirac pada Julai 2003, tahun yang sama perjanjian kapal selam Scorpene antara Malaysia dan Perancis telah ditandatangani.

"C4 amat prihatin tentang usaha terbaru ini...," kata Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel.

Mengulas lanjut, kata Nik Nazmi, beliau mengikuti dengan dekat kenyataan Hishamuddin berkenaan kesediaan untuk disiasat sekiranya terdapat dakwaan rasuah terhadap beliau.

"Ini merupakan kenyataan yang berani oleh menteri dan patut dipuji kerana keterbukaan dan ketelusan sebegitu amatlah asing di dalam pentadbiran kerajaan sedia ada.

"1MDB sendiri telah mendatangkan kesan negatif kepada pihak veteran tentera yang terpaksa menanggung kelewatan bayaran pencen beberapa bulan akibat urusan LTAT dengan 1MDB.

"Malah ini juga berlaku ketika rakyat tertekan akibat keadaan ekonomi yang teruk," ujar beliau lagi.

Lihat Komen
ADS