Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tulang manusia purba ditemui di Guar Kepah
Diterbitkan:  Apr 19, 2017 5:43 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Tulang manusia purba ditemui di tapak galeri neolitik di Guar Kepah di Butterworth Pulau Pinang.

Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika mengumumkan perkara itu berkata, tulang paha itu ditemui pada kedalaman hanya 70cm semasa kerja-kerja cerucuk untuk pembinaan galeri baru, menyebabkan kerja-kerja menggali segera dihentikan.

Pemeriksaan lanjut oleh pasukan Pusat Penyelidikan Arkeologi USM (PPAG) yang diketuai oleh Prof Dr Mokhtar Saidin, menemui tengkorak manusia dan tulang rusuk, semuanya dipercayai berusia sekurang-kurangnya 5,000 tahun.

Guar Kepah terletak di Seberang Perai Utara dan dikenali penduduk tempatan sebagai Paya Cina.

Menurut Lim, PPAG kini menjalankan kerja-kerja yang lebih luas di tapak itu, manakala kontraktor telah diberitahu untuk menangguhkan pembinaan galeri berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri komited untuk mengekalkan tapak berkenaan.

"Kami telah meminta dana daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina galeri untuk memelihara dan mempamerkan artifak di Guar Kepah, tetapi tiada nasib setakat ini," katanya pada sidang akhbar di Komtar hari ini.

Pada Disember 2013, Malaysiakini melawat tapak berkenaan dan mendapati ia tidak berpagar.

"Kami telah memperuntukkan 2.39 ekar tanah kepada Perbadanan Ketua Menteri - yang menyelia pembangunan warisan - dan bantuan kewangan RM830,000 bagi pembinaan fasa pertama galeri," kata Lim.

Beliau berkata USM telah menjalankan kajian di kawasan itu, yang lebih tua daripada Lembah Bujang di Kedah, sejak 2010.

Seawal tahun 1860, tapak perkuburan manusia pra-sejarah ditemui di atas bukit di Guar Kepah.

Guar Kepah juga merupakan tapak penggalian pertama oleh pegawai British GW Earl pada tahun 1850, yang membawa kepada penemuan 27 tulang manusia yang kini disimpan di Belanda.

"Kami akan bekerjasama dengan Belanda untuk cuba membawa pulang artifak ini; ini adalah warisan sejarah yang tidak ternilai yang perlu dipelihara, "kata Lim.

"Kami berharap ahli akademik akan menggunakan lokasi tersebut sebagai tempat di mana penyelidikan, rujukan dan maklumat tentang manusia pra-sejarah yang boleh dilakukan," katanya.

Lihat Komen
ADS