Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, caj melampau yang dikenakan oleh para peniaga dan pengusaha restoran didalangi oleh pakatan pembangkang.
Menurut Tengku Adnan yang popular dengan gelaran Ku Nan, ini kerana institusi pengusaha makanan sedia ada kini dianggotai oleh pemimpin parti pembangkang.
Persetujuan mengenai harga makanan pula akan ditentukan oleh institusi itu.
"Pada saya, ia memang didalangi oleh pihak pembangkang.
"Saya kenal pasti bila ada mesyuarat pertubuhan (restoran) di dalam pertubuhan itu ada DAP, PKR dan puak inilah yang berperanan menidakkan apa yang kerajaan cuba bantu rakyat selain memastikan harga ini diperbetulkan," kata Tengku Adnan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Perasmian Karnival Ceria dan Sukan Komiti Jom Bantu Rakyat di Padang Perumahan Awam Seri Johor, Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun, mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno itu berkata, teguran berhubung caj melampau yang dikenakan peniagan ini tidak tertumpu kepada peniaga India Muslim sahaja seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Teguran pada Kimma
Sebaliknya, anggota Parlimen Putrajaya itu berkata, secara kebetulan teguran itu dibuat semasa mesyuarat agung tahunan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).
"Sebenarnya bukan kedai mamak sahaja, kedai Melayu pun ada, Cina, India pun ada.
"Kebetulan hari itu saya bercakap dengan pada program Kimma, saya tersebut mamak. Mamak marah pada saya kenapa? Kalau tak buat, jangan marahlah.
"Saya cakap yang betul, saya boleh tunjuk bukti daripada WhatsApp rakyat kepada saya bil yang tak masuk akal.
"Bila kita minta harga di tekan kalkulator dapat satu harga, suruh buat lagi sekali lain harga," kata Tengku Adnan.
Pada 15 April lalu, Tengku Adnan menegur pengusaha-pengusaha restoran mamak yang mengenakan caj melampau ke atas teh tarik dan roti canai.
Beliau dipetik berkata, walaupun subsidi gula lebih awal dikurangkan 34 sen perkilogram, beberapa restoran menaikkan harga secawan teh tarik sebanyak 50 sen.
“Adakah terdapat satu kilogram gula di dalamnya (secawan teh tarik)? Mengapa? Begitu juga dengan tepung dan minyak masak. Mengapa harga sekeping roti canai naik mendadak?
“Jangan mencatut. Haram (dilarang)!” katanya pada mesyuarat agung tahunan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).
Justeru, Tengku Adnan akan menyeru penguasaha meletakkan tanda harga di restoran mereka serta memberikan resit bayaran bagi memudahkan pengguna mendapatkan harga sebenar.
"Saya minta DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) bersama KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) turun memantau tanda harga jualan dia.Tidak munasabah air kosong sehingga RM1.60 dan nasi putih RM3.00," katanya.
DAP selar Ku Nan
Sementara itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali menyelar Ku Nan yang didakwa mengutarakan hujah tak masuk akal dan tidak wajar yang sama sekali.
"Ini cukup memalukan keseluruhan imej eksekutif negara kita dan memperkecilkan kebijaksanaan rakyat yang sentiasa menilai prestasi kerajaan hari ini.
"Umum mengetahui bahawa kenaikan harga barang dan makanan adalah didorong oleh faktor-faktor luar seperti kenaikan harga bahan api dan cukai-cukai yang membebankan," katanya dalam kenyataan.
Setelah pelbagai skandal terpalit keatas kerajaan, kata beliau, Ku Nan pula membawa hujah-hujah yang dangkal.
"Jangan pelik jika rakyat anggap menteri kita bertaraf 'badut'," jelasnya.
Hakikatnya, ujar beliau, kerajaan gagal dalam mengurus tadbir ekonomi Malaysia dengan baik sehingga rakyat terus terbeban.
Sistem kouta Melayu
Dalam mengulas kenyataan menteri belia dan sukan yang menyifatkan sistem kuota sebagai suatu penghinaan kepada kaum Melayu, Tengku Adnan bersetuju dengan Khairy Jamaluddin.
"Saya pun bersama (menyokong kenyataan) dengan Khairy. Kenapa 30 peratus? Kalau ikut demografi Melayu adalah 50-60 peratus golongan Bumiputera tetapi banyak yang tidak sedar dan faham bahawa kita amalkan konsep kesederhanaan (moderate)," tambah Tengku Adnan.
Khairy yang juga ketua pemuda Umno dalam wacana bersama anak muda India Malaysia mengenai Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) baru-baru ini dilapor berkata, kaum Melayu perlu bergerak ke hadapan tanpa memerlukan sistem kuota.
Bagaimanapun, kenyataan Khairy itu disifatkan sebagai suatu penghinaan kepada kaum Melayu disifatkan sebagai 'cetek, tidak tepat dan bermuka-muka'.
Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK), Dr Afif Bahardin berkata, pelaksanaan sistem itu pada awalnya berniat baik tetapi akhirnya gagal mencapai tujuan kerana amalan rasuah.