Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembeli PR1MA boleh mohon skim pembiayaan fleksibel
Diterbitkan:  Apr 26, 2017 7:34 AM
Dikemaskini: 11:38 PM

Pembeli kediaman Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kini boleh memohon skim pembayaran akhir istimewa, Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF), yang dilancarkan pada Februari lepas.

Pembeli yang berminat menyertai skim itu boleh membuat permohonan melalui rakan perbankan PR1MA iaitu Maybank, CIMB, RHB dan AmBank.

"Ada dua pilihan SPEF sama ada melalui pembiayaan berperingkat atau pembiayaan berperingkat dengan pengeluaran Akaun 2 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Peminjam hanya perlu membayar faedah untuk 5 tahun pertama manakala pembayaran pokok akan bermula pada tahun keenam dan seterusnya sehingga pinjaman itu selesai bagi kedua-dua pilihan berkenaan," menurut kenyataan PR1MA semalam.

Skim itu merupakan usaha sama antara Bank Negara Malaysia, KWSP dan beberapa institusi kewangan khusus untuk pembeli kediaman PR1MA bagi membolehkan pembeli rumah kali pertama mendapat akses kepada jumlah pinjaman lebih besar berbanding pinjaman konvensional.

Menurut kenyataan itu, sekiranya pembeli mahu mendapatkan jumlah pinjaman lebih besar, mereka boleh memilih Akaun 2 KWSP sebagai pilihan kedua.

Skim itu tertakluk kepada terma dan syarat berdasarkan kelayakan berdasarkan profil risiko dan penilaian kredit peminjam oleh bank berkenaan.

Sehingga April ini, sebanyak 136,569 unit perumahan PR1MA sedang dibina daripada sejumlah 265,033 unit perumahan itu di seluruh negara yang diluluskan Ahli Perbadanan PR1MA.

Setakat ini, sejumlah 1.41 juta rakyat negara ini telah mendaftar dengan PR1MA dan 166,972 daripadanya telah memohon perumahan PR1MA.

- Bernama

Lihat Komen
ADS