Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian Invoke hanya perang psikologi, kata Mapan
Diterbitkan:  Apr 26, 2017 11:49 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, dapatan kaji selidik oleh Invoke Malaysia (Invoke) tidak perlu dipandang serius.

Menurut beliau, ini kerana Invoke adalah milik Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menimbulkan keraguan terhadap keneutralan kaji selidik tersebut.

Pada masa yang sama, dapatan kajian itu mungkin sahaja akan ditafsirkan sebagai satu perang psikologi bagi melekakan BN atau bagi melemahkan semangat PAS, jelasnya.

"Sebagai antara pemimpin tertinggi PKR, tentu akan ada tuduhan dapatan kaji selidik tersebut berpotensi digunakan bagi melonjakkan imej PKR sebagai peneraju utama Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Tuduhan ini tidak boleh dipandang remeh kerana PKR didapati paling diterima oleh pengundi parti komponen HARAPAN lain iaitu 87.2 peratus pengundi DAP, 80.4 peratus pengundi Parti Amanah Negara (AMANAH) dan 80.3 peratus pengundi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Ini berbanding BERSATU yang hanya diterima oleh 61.4 peratus pengundi DAP, 66.3 peratus pengundi PKR dan 78 peratus pengundi AMANAH," katanya dalam kenyataan.

AMANAH hanya diterima oleh 61 peratus pengundi PKR, 65.5 peratus pengundi DAP dan 68.2 peratus pengundi BERSATU manakala DAP pula hanya diterima oleh 69.8 peratus pengundi BERSATU, 81.7 peratus pengundi PKR dan 85.1 peratus pengundi AMANAH, jelas beliau.

Semalam, ketika membentangkan dapatan kajian Invoke, Rafizi berkata, pilihan raya umum akan datang akan menyaksikan persaingan sebenar antara HARAPAN dan BN dengan PAS tidak memainkan peranan besar dalam mempengaruhi undi pemilih.

Katanya, sokongan terhadap PAS tidak akan bertambah walaupun berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Undi PAS masih penting, tetapi terhad hanya di beberapa negeri,” katanya.

Tambah Rafizi, walaupun sokongan PAS masih penting di Terengganu dan Kelantan, suasana di Kedah pula berbeza.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, berdasarkan dapatan kaji selidik itu, AMANAH menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi tetapi tidak mendapat balasan sama dari ketiga-tiga parti komponen HARAPAN khususnya PKR.

"Masalah kelihatan berlaku dalam hubungan antara PKR dan AMANAH bila hanya 61 peratus pengundi PKR sahaja menerima AMANAH berbanding 80.4 peratus pengundi AMANAH menerima PKR.

"Begitu juga dengan hubungan antara PKR dan BERSATU yang turut tidak seimbang bila hanya 66.3 peratus sahaja pengundi PKR menerima BERSATU berbanding 80.3 peratus pengundi BERSATU menerima PKR," ujarnya.

Hubungan antara DAP dan AMANAH juga kelihatan tidak seimbang apabila hanya 65.5 peratus pengundi DAP sahaja menerima AMANAH berbanding 81.5 peratus pengundi AMANAH menerima DAP, tambah beliau.

Katanya, antara DAP dan BERSATU juga tidak seimbang bila hanya 61.4 peratus pengundi DAP sahaja menerima BERSATU berbanding 69.8 peratus pengundi BERSATU menerima DAP.

"Kesemua ini mendedahkan ketidak ikhlasan antara sesama parti komponen HARAPAN, khususnya DAP terhadap BERSATU dan AMANAH serta PKR terhadap AMANAH dan BERSATU," katanya lagi.

"Oleh itu, dalam pada ia menunjukkan penerimaan semua komponen HARAPAN terhadap PKR, dapatan kaji selidik ini juga menunjukkan belang sebenar bukan sahaja PKR tetapi juga DAP terhadap parti-parti rakan mereka.

"Ia menjadi petanda awal betapa parti-parti komponen HARAPAN khususnya PKR dan DAP mempunyai kecenderungan untuk mensabotaj antara satu sama lain demi kelangsungan politik sendiri," jelasnya.

Lihat Komen
ADS