Isu AP: Rafidah menangis ketika sidang akhbar
Terjemahan Kontroversi berhubung pemberian AP kereta nampaknya memberi kesan yang besar terhadap Datuk Seri Rafidah Aziz apabila beliau menitis air mata apabila ditanya sama ada beliau akan memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu tersebut.
Terjemahan Kontroversi berhubung pemberian AP kereta nampaknya memberi kesan yang besar terhadap Datuk Seri Rafidah Aziz apabila beliau menitis air mata apabila ditanya sama ada beliau akan memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu tersebut.
Dalam keadaan teresak-esak, Menteri Perdagangan Antarabangsa itu berkata, jangan ada sesiapa pun yang menganggap beliau bersikap 'biadap' terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Ketika itu, pembantunya datang menghulus tisu kepada Rafidah yang jelas tidak dapat menahan perasaannya itu, untuk mengesat air matanya.
Rafidah yang dikenali sebagai "Wanita Besi Malaysia" kerana ketegasan dalam menjalankan tugasnya, berkata tidak mungkin beliau bersikap biadap kepada Dr Mahathir yang sudah dianggapnya seperti bapanya sendiri.
Semalam, Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin menyarankan supaya Rafidah memohon maaf secara terbuka kepada Dr Mahathir berhubung kenyataannya "yang agak tidak disenangi" melibatkan isu AP kereta baru-baru ini.
Menurut Zam, Rafidah wajar memohon maaf kepada Dr Mahathir sebelum Perhimpunan Agung Umno ke-56 di Kuala Lumpur yang bermula malam ini.
Disaran minta maaf
Timbalan Menteri Penerangan itu berkata, Rafidah telah memberi jawapan yang menyinggung perasaan Dr Mahathir apabila dia mendedahkan bahawa anak bekas Perdana Menteri itu sendiri memiliki AP untuk mengimport kereta Porsche.
Sementara itu, Rafidah berkata, kerajaan akan meneruskan skim pemberian AP kereta walaupun ianya menjadi sasaran kritikan mereka yang mendakwa ia hanya mengkayakan ahli perniagaan Melayu, tetapi menjejaskan pembuat kereta national, Proton.
Beliau memberitahu para pemberita, bahawa buat masa ini, ia merupakan sistem yang paling sesuai untuk dilaksanakan.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan senarai penerima AP yang diperkenalkan pada tahun 1970 untuk membantu ahli perniagaan Melayu yang ketinggalan di belakang kaum Cina.
Mengikut senarai tersebut, antara penerima AP itu adalah bekas pegawai kanan di kementerian Rafidah yang kesemuanya menerima lebih 28,000 daripada 67,158 permit yang dikeluarkan pada tahun ini sahaja.
Rafidah sebaliknya menafikan wujudnya 'patronage' dalam pemberian permit tersebut dan menegaskan yang beliau tidak akan meletakkan jawatan berhubung pendedahan tersebut.
Menurutnya, beliau tiada kena mengena dengan pemilik-pemilik AP berkenaan.
Sambil memegang kitab al-Quran, Rafidah yang juga Ketua Wanita Umno Malaysia, berkata Tuhan menjadi saksinya.
Tidak diberi layanan sewajarnya
Kontroversi tersebut tercetus awal bulan ini apabila Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tengku Mahaleel Ariff berkata syarikat pembuat kereta nasional itu tidak mendapat layanan sewajarnya daripada pihak kerajaan.
Kenyataannya itu disokong oleh Dr Mahathir yang juga Penasihat Proton, yang menegaskan permit-permit khas membenarkan pengimport membawa masuk kereta pada harga yang amat murah.
Bagaimanapun, Rafidah berkata pembuat kereta nasional boleh meningkatkan dayasaingnya dengan meningkatkan mutu keluarannya, dan bukannya menyalahkan orang lain.
Proton biasanya menjual enam bagi setiap 10 kereta keluarannya di Malaysia, tetapi pemasarannya terjejas kerana terpaksa bersaing dengan kereta import, sehingga menyebabkan pasarannya jatuh dari 48 peratus kepada 44 peratus tahun lalu, berbanding 48 peratus pada 2003.
- AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.