Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenapa belum dakwa pemimpin Umno Melaka, soal PKR
Diterbitkan:  Apr 27, 2017 3:45 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang belum mendakwa pemimpin Umno Melaka atas tuduhan terbabit dalam dua kes rasuah melibatkan nilai rampasan RM150 juta.

Menurut laporan akhbar tempatan semalam, mahkamah majistret di negeri itu telah mengeluarkan waran tangkap namun gagal diserahkan kepada lelaki terbabit.

"Saya mendesak SPRM tampil dengan segera memberikan penjelasan terhadap kelewatan mendakwa pemimpin terbabit bagi mengelakkan sebarang spekulasi timbul.

"Saya juga mendesak agar menghentikan sebarang percubaan 'cover-up' oleh pihak tertentu untuk menyelamatkan pemimpin terbabit," kata beliau dalam kenyataan.

Shamsul Iskandar yang juga naib presiden PKR berkata, kegagalan mendakwa pemimpin terbabit menimbulkan pelbagai persoalan kepada orang ramai khususnya rakyat Melaka.

Ahli politik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pegawai atasan kerajaan Melaka dikatakan akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, beliau berasa terkejut dengan laporan akhbar mengenai pemimpin tersebut yang belum lagi didakwa walaupun waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya.

"Adalah menjadi rahsia umum bahawa pegawai berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan (Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri) Idris Haron memandangkan Idris sendiri telah diminta memberikan kerjasama oleh SPRM berkaitan dengan kes rasuah pemimpin UMNO Melaka itu pada awal tahun ini," tambahnya.

Shamsul Iskandar turut membangkitkan persoalan bagaimana pemimpin itu masih bebas walaupun waran tangkap telah dikeluarkan dan dimana beliau sehinggakan pihak berkuasa gagal menangkapnya.

"Apakah beliau dilindungi pimpinan atasan kononnya beliau punyai hubungan secara langsung dengan ketua menteri kerana bimbang Idris akan diheret sama," jelas beliau.

Lihat Komen
ADS