Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aziz Bari: Mahkamah ambil pendekatan tegar
Diterbitkan:  Apr 29, 2017 7:23 PM
Dikemaskini: 11:28 AM

Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berpendapat bahawa mahkamah adalah wajar mengambil tafsiran yang lebih luas mengenai pegawai atau penjawat awam.

Ini, katanya, terutamanya apabila membabitkan soal kebertanggungjawaban dan ketelusan bagi kerajaan yang memerintah.

"Ini ialah satu contoh di mana pendekatan terlalu berhati-hati, secara harfiah dan rigid boleh menjurus keputusan tidak demokratik oleh mahkamah itu," kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Beliau menambah bahawa tafsiran pegawai awam atau penjawat awam boleh diambil meluas seperti dalam kes-kes rasuah supaya sesuai dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Aziz berkata demikian berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman misfeasans bagi pegawai awam yang difailkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Abu Bakar Jais memutuskan bahawa Najib, sebagai perdana menteri, bukan pegawai awam dan dengan itu menolak saman tersebut.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata hakim telah menghampakan orang ramai dengan menolak saman itu atas alasan teknikal dan terlalu berhati-hati.

"Mahkamah mempunyai peranan, terutama apabila institusi lain seperti Parlimen, Yang di-Pertuan Agong dan lain-lain telah memilih melepaskan kuasa mereka.

"Tidak lupa peguam negara walaupun beliau pada dasarnya adalah sebahagian daripada kerajaan sedia ada," katanya.

Abu Bakar semalam membenarkan permohonan membatalkan saman itu dan mengarahkan Mahathir, bersama dengan Datuk Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin, membayar kos RM30,000.

Hakim itu dalam keputusannya berkata dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Interpretasi 1948 dan 1967 menyatakan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik tidak dianggap pegawai awam tetapi sebagai anggota pentadbiran.

Mengulas mengenai keputusan Abu Bakar semalam, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram berkata tindakan itu dibawa oleh Mahathir berdasarkan undang-undang biasa "tort misfeasans" bagi pejabat awam.

Lihat Komen
ADS