Paling Popular
Terkini
story images
story images

PAS sudah berjaya mengenal pasti pihak yang menyebarkan poster berbaur serangan peribadi terhadap beberapa pemimpin parti itu hari ini.

Menyifatkan tindakan berkenaan sebagai terdesak, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, bagaimanapun berkata beliau tidak terkejut dengan perkembangan itu.

"Kami kenal siapa yang buat itu, sama ada poster oren ke, poster melalui sebaran dalam akhbar-akhbar, itu pun kami kenal pasti orang yang buat," katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Kedah, di Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

Bagaimanapun, Takiyuddin tidak mendedahkan dengan lebih terperinci pihak yang dimaksudkan itu.

Terdahulu Muktamar PAS ke-63 yang memasuki hari kedua hari ini dikejutkan dengan kewujudan poster menyerang beberapa tokoh ulama parti itu.

Bertajuk ‎'Zuhud PAS???' kertas bersaiz A4 itu menyerang dua pemimpin PAS berstatus ulama dengan memaparkan perbandingan kenderaan digunakan sebelum dan selepas mereka menjadi anggota parlimen‎.

Seorang lagi pula dituduh terlibat dalam skandal dengan seorang wanita tidak dikenali.

Tiga tokoh kanan PAS yang disasarkan ialah Anggota Parlimen Temerloh merangkap Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan; Anggota Parlimen Kuala Nerus merangkap Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali; serta pendakwah terkenal merangkap Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik.

Kata Takiyuddin, serangan itu juga dilihat sebagai langkah terdesak pihak terbabit dan ia bukan mengejutkan PAS.

"Orang itu kita tak terkejut, (pada) asasnya kita kenal orang itu.

"Bagi kita, itu tindakan terdesak pihak-pihak berkenaan. Mereka cuba menggangu perjalanan muktamar kita.

"Sepatutnya apabila kita buat muktamar kita yang sibuk, tapi nampaknya mereka pun sibuk juga," katanya.

Lihat Komen
ADS