Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sedihnya melihat pekerja M'sia ke Singapura
Diterbitkan:  May 1, 2017 2:36 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

Ratusan ribu rakyat Malaysia - terutama dari Johor - tidak perlu menyeberangi Selat Tebrau setiap hari jika pemimpin di negara ini tidak rasuah, kata Salahuddin Ayub.

Menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu, melihat begitu ramai rakyat Malaysia ke Singapura untuk bekerja setiap hari adalah pengalaman yang menyedihkan.

Katanya, sebahagian besar daripada 300,000 rakyat Malaysia yang melintasi dua laluan ke Singapura itu adalah penduduk Johor.

"Rakyat Johor sepatutnya boleh mendapat faedah lebih baik daripada ini jika pemimpin di atas tidak rasuah dan menjaga kebajikan rakyat.

"Rakyat Johor tidak perlu lagi bersusah-payah ke Singapura untuk mencari nafkah," katanya dalam kenyataan media sempena sambutan Hari Buruh hari ini.

Kata Salahuddin, dengan pentadbiran yang bersih daripada rasuah Johor boleh dibangunkan dengan pelbagai peluang ekonomi yang tinggi dan meningkatkan kadar gaji minimum.

Katanya, berdasarkan pengalaman lamanya berkecimpung dalam politik dan bergaul dengan orang ramai, didapati pendapatan pekerja di negara ini tidak setimpal dengan apa yang diperlukan dalam hidup seharian.

Antara keperluan yang banyak memakan belanja, kata Salahuddin, ialah kos rumah, pengangkutan dan keperluan asas.

"Harga barang keperluan harian yang semakin mahal dan kos hidup yang tinggi semakin menyukarkan lagi kehidupan golongan pekerja ini.

Mengenai tekanan gaji rendah, Salahuddin berpendapat, ial disebabkan pekerja tempatan terpaksa bersaing dengan lambakan buruh asing dengan pendatang tanpa izin yang secara relatifnya jauh lebih murah.

"Kejayaan yang dinikmati hari ini adalah hasil titik peluh para pekerja. Tanpa mereka, pembangunan ekonomi tidak akan berjaya.

"Maka amatlah penting hak dan kebajikan pekerja di dipertahan demi masa depan yang lebih baik," katanya sambil menambah, ia boleh dilakukan jika pentadbiran negeri berjaya ditadbir oleh Pakatan Harapan selepas ini.

Lihat Komen
ADS