Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hanya 34.8% pendapatan untuk pekerja, selar HARAPAN
Diterbitkan:  May 1, 2017 2:36 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata, kajian mendapati 34.8 peratus daripada pendapatan keseluruhan Malaysia diagihkan kepada golongan pekerja di negara ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Abdullah Sani (PKR), Faiz Fadzil (AMANAH) dan Charles Santiago (DAP), baki lebih 65 peratus pergi kepada golongan korporat dan kerajaan (melalui cukai).

"Keadaan ini membuktikan bahawa wujudnya masalah gaji di negara kita.

"Ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga rumah yang meningkat, pekerja hari ini semakin tertindas dengan kekurangan pemilikan aset serta jurang kekayaan yang semakin melebar.

"Bertambah malang, kerajaan BN kurang prihatin mengenai isu ini, malah tidak menampakkan usaha untuk membantu pekerja memperoleh pendapatan boleh guna yang baik serta mengurangkan kebergantungan mereka pada hutang isi rumah," kata mereka.

Di samping itu, kelemahan dalam sistem pendidikan di negara ini menyebabkan majoriti pekerja tempatan merupakan lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan ke bawah.

"Hanya sekitar 28 peratus sahaja golongan pekerja yang berpengalaman melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari. Keadaan ini dikaitkan dengan pendapatan rakyat Malaysia yang rendah. Kelulusan pendidikan pada tahap-tahap tertentu begitu penting di Malaysia dalam memasuki alam pekerjaan.

"Tahap pendidikan yang rendah akan menyebabkan individu dipaksa bekerja dalam sektor produktiviti rendah yang akhirnya memperoleh pendapatan yang sedikit. Hari ini, industri pekerja global terbahagi pada golongan pekerja tidak mahir yang berpendapatan rendah, dan pekerja mahir berpendapatan tinggi.

"Malangnya, pekerja tidak mahir di Malaysia seringkali ditindas dengan pendapatan kecil, bahkan terpaksa bersaing dengan 6 juta pekerja asing yang sebahagian besarnya adalah pendatang asing tanpa izin (PATI)," jelas mereka.

Selain itu, kerajaan BN kurang memberi perhatian pada kebajikan golongan pekerja dengan hanya lapan peratus pekerja di Malaysia yang bernaung dengan mana-mana kesatuan pekerja.

Kerajaan tidak memberikan insentif atau menekankan keperluan wujudnya kesatuan pekerja yang berusaha menjaga kebajikan ahli mereka, tambah mereka.

Permasalahan yang berlaku dalam industri pekerja hari ini, kata mereka lagi, jelas menunjukkan kegagalan Barisan Nasional dalam memperjuangkan kelas pekerja.

"Dengan 90 peratus pendapatan isi rumah di negara Malaysia bersumberkan gaji dan hasil perniagaan peribadi, persekitaran ekonomi yang semakin mencabar dan tata kelola buruk BN akhirnya memangsakan golongan pekerja," ujar mereka.

Justeru, tambah HARAPAN, jadikan pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada kali ini sebagai jalan untuk mereformasikan industri pekerja di Malaysia.

Lihat Komen
ADS