Kira-kira 30 orang ahli Pertubuhan Kebajikan & Kemajuan Islam Bersatu bergotong-royong menanggalkan iklan poster ceti haram atau juga dikenali sebagai ‘ah long’ di beberapa lokasi sekitar ibu kota dan pinggir bandar, sepanjang hujung minggu lalu.
Antara ‘sasaran’ NGO itu adalah di sepanjang jalan Gombak, Sentul, Batu Caves dan Batu Muda.
Menerusi satu kenyataan media dan gambar-gambar yang memaparkan aktiviti ‘mencabut dan menurunkan’ poster haram itu, NGO berkenaan berkata ia dilakukan bagi mengelak orang awam terpengaruh dengan taktik pinjaman wang tidak berlesen.
“Program membanteras ah long ini tidak hanya akan tertumpu pada mencabut dan menurunkan banner-banner sahaja, pihak pertubuhan telah merangka pelbagai lagi acara bagi memberi kesedaran dan didikan kepada masyarakat tentang bahayanya meminjam dari ah long dan institusi pinjaman tidak berlesen ini,” kata NGO itu.
Sambil berikrar akan membanteras gejala pinjaman wang tanpa lesen itu hingga ke akar umbi, NGO itu berkata program yang dijalankan semalam itu akan dijadikan aktiviti wajib setiap bulan sebagai memenuhi tanggung jawap sosial terhadap masyarakat,
“Ia bertujuan untuk menyekat penyebaran maklumat dan promosi pinjaman ahlong dan intitusi kewangan tidak berlesen ini yang mana telah banyak mendatangkan keburukan terhadap masyarakat hari ini.
“Selain itu, program ini secara tidak langsung juga dapat membantu pihak kerajaan tempatan seperti DBKL yang selama ini berusaha keras menyekat lambakan iklan-iklan haram ah long yang digantung sekitar ibu kota yang mana ia amat-amat mencacatkan pemandangan,” kata NGO itu.
