Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPRU cadang HARAPAN guna logo PKR
Diterbitkan:  May 3, 2017 2:43 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) mencadangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) menggunakan logo parti PKR sebagai logo gabungan pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Eksekutif KPRU, Ooi Heng berkata, cadangan tersebut sebagai pelan alternatif sekiranya logo HARAPAN masih gagal untuk didaftarkan menjelang PRU14 yang mungkin diadakan dalam masa enam bulan lagi.

"Daripada empat logo sedia ada, logo AMANAH dan BERSATU masih baru buat pengundi seluruh pelusuk negara. Yang dikenali pengundi adalah logo PKR dan DAP.

"DAP telah berusia 51 tahun sementara PKR telah berusia 18 tahun.

"Apabila faktor penerimaan oleh pengundi pelbagai etnik diambil kira, seharusnya logo PKR digunakan sebagai logo calon HARAPAN jika tiba PRU14 nanti, logo baru HARAPAN gagal didaftarkan," katanya dalam kenyataan.

Sebentar tadi, menerusi laman Facebook, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli memuat naik cadangan tiga logo HARAPAN yang salah satunya mempunyai imej "ibu jari"

Cadangan tersebut menerima kecaman daripada warga maya yang bagi sesetengah mereka tidak melambangkan kerja-kerja secara profesional dan dibuat dengan sambil lewa sahaja.

“Majlis Presiden (Pakatan Harapan) minggu lalu telah bersetuju menyenarai pendek logo-logo berikut untuk dikongsi dengan rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumbalas.

“Undi logo HARAPAN yang anda gemari,” tulis Rafizi lagi.

Mengulas lanjut, Ooi berkata, dalam hal berkaitan manifesto pula, adalah penting HARAPAN menyambung tradisi manifesto era Pakatan Rakyat sebuah gabungan parti yang menawarkan kebijaksanaan secara inklusif, mengangkat kepedulian rakyat, bertanggungjawab dan membawa pembaharuan.

Namun begitu, manifesto sebaik mana pun tidak mampu membawa impak yang diingini jika sekiranya pemimpin, ahli atau penyokong mana-mana parti dalam HARAPAN membawa mesej yang berlainan apabila berdepan dengan kumpulan masyarakat yang berbeza, jelasnya.

"Umum juga sedia maklum bahawa faktor lain seperti dana PRU, jentera akar umbi, media, persempadanan kawasan pilihan raya dan bilangan kerusi yang berdepan dengan lawan tiga atau lebih penjuru juga menjadi syarat-syarat yang mempengaruhi sesebuah PRU," tambahnya.

Selain itu, sejarah menunjukkan parti pembangkang yang mampu menang besar dalam PRU adalah parti pembangkang yang membentuk gabungan politik yang berkesan, ujarnya.

"Dalam sistem First-Past-The-Post (FPTP) di mana majoriti satu undi sudah memadai untuk sebuah parti politik menang dalam sesebuah kerusi parlimen yang dipertandingkan, gabungan politik sebaik-baiknya hendaklah dibentuk sebelum dan bukannya selepas PRU," jelasnya.

Lihat Komen
ADS