Sekumpulan lebih 10 penjaja pasar malam di Kampung Melayu Sungai Buloh, Selangor hari ini tampil di bangunan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sambil membuat bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa tempatan yang mengenakan cukai taksiran ke atas mereka.
Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (Perkata), Adzly Ab Manas yang mewakili penjaja kecil itu berkata, tindakan kerajaan negeri Selangor untuk mengutip cukai melalui MPS adalah tidak adil.
“Ini sama sekali bertentangan dengan dasar yang dilaungkan kerajaan Selangor iaitu membantu golongan susah atau penjaja Melayu,” katanya.
Menurut Adzly, yang juga seorang peguam, penjaja pasar malam itu terkejut selepas menerima notis-notis cukai yang selama ini tidak pernah dikenakan kepada mereka.
Beliau mendakwa penjaja berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan walaupun telah beberapa kali memohon.
“Keadaan itu amat membebankan kerana mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada perniagaan kecil,” katanya ketika ditemui pada sesi bantahan berkenaan hari ini.
Bagi Razak Dahaman, 39, setelah sekian lama berniaga di tapak tersebut dan beliau terkejut apabila diberi notis cukai daripada pihak kerajaan negeri.
“Tugas kerajaan bukan untuk membebankan kami dengan kadar cukai yang tidak masuk akal, sebaliknya mereka harus menolong kami kerana ini sahaja yang kami ada,” katanya kepada Malaysiakini.
Turut hadir pada bantahan hari ini adalah wakil daripada sebuah kilang di kawasan MPS.
Menurut wakil PEX Holdings, mereka mahu pihak kerajaan negeri Selangor menjelaskan kenapa mereka dikenakan kenaikan cukai.
Menurut wakil syarikat itu, walaupun telah membayar cukai taksiran mengikut kadar industri sejak tahun 1991 tetapi sehingga sekarang, pihak kerajaan negeri mahupun MPS gagal membina laluan jalan raya ke kilang mereka.
“Sehingga kini, kami masih (juga) menunggu janji majlis perbandaran untuk memasang lampu jalan raya sekitar kawasan kilang kami,” kata wakil syarikat tersebut.
