Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pembantu PM, perunding 1MDB dan dakwaan terima RM2 juta'
Diterbitkan:  May 4, 2017 8:43 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat kejutan semalam, dengan mendakwa sebuah syarikat milik Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, seorang pembantu kepada perdana menteri telah menerima RM2 juta daripada Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan Rafizi itu berdasarkan beberapa dokumen bocor yang didakwa berkaitan dengan aliran dana SRC International, yang telah dimuat naik ke blog sprminsider.blogspot.com, dan kemudiannya disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa bahawa ia menunjukkan bagaimana Najib didakwa membelanjakan sejumlah wang yang kononnya diterimanya daripada SRC International, berjumlah RM27 juta, melalui perantara pada 8 Julai 2014.

RM27 juta juga muncul dalam dokumen yang dipegang oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Januari tahun lalu apabila dia membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam kes SRC, atas alasan bahawa perdana menteri tidak tahu dana itu masuk ke dalam akaun banknya.

Rafizi mendakwa, Orb Solutions Sdn Bhd, yang 50 peratus dimiliki oleh Amhari, menerima RM2 juta dari akaun bank peribadi Najib pada 27 Ogos 2014.

Baki 50 peratus daripada syarikat itu yang dipegang oleh Har Kok Kit, seorang bekas eksekutif kanan di Astro.

Malaysiakini telah menyemak nombor akaun bank Maybank yang didakwa menerima dana itu dan boleh mengesahkan bahawa akaun itu sememangnya milik Orb Solutions Sdn Bhd.

Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Orb Solutions Sdn Bhd menerangkan jenis perniagaannya sebagai "pengurusan web dan penyelesaian strategi komunikasi".

Manakala RM27 juta dalam akaun bank peribadi perdana menteri mungkin berasal dari SRC, tetapi penerima dana dari perdana menteri tidak dianggap telah melakukan apa-apa kesalahan jika ianya untuk transaksi yang sah.

'Rundingan 1MDB-IPIC'

Ini adalah kali ketiga dalam tempoh kurang daripada satu tahun nama Amhari timbul dalam domain awam.

Hanya bulan lalu, Straits Times Singapura menamakan Amhari antara yang terlibat dalam rundingan 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), Abu Dhabi.

Rundingan dimuktamadkan dengan Malaysia bersetuju untuk membayar AS$1.2 bilion kepada IPIC di samping bersetuju memikul tanggungjawab dalam dua bon yang diterbitkan oleh kumpulan 1MDB yang dijamin oleh 1MDB dan IPIC.

Malaysiakini pada 26 April menghubungi Amhari tentang peranannya dalam rundingan itu tetapi beliau merujuk semua pertanyaan kepada setiausaha akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Shariffuddin Shah Tengku Ahmad.

"Saya tidak berhak untuk memberi respons," katanya memberitahu Malaysiakini.

Malaysiakini telah, sejak semalam, cuba menghubungi Amhari berulang kali ekoran dakwaan Rafizi itu tetapi masih belum menerima jawapan.

Amhari yang berusia 40 tahun itu sebelum ini juga dilaporkan dalam berita apabila aplikasi iOS dan android rasmi Najib dilancarkan Oktober tahun lepas.

Pemaju aplikasi ini disenaraikan sebagai Resonate Digital Sdn Bhd, di mana struktur pemilikannya adalah sama dengan Orb Solutions Sdn Bhd, dengan Amhari memiliki 50 peratus pegangan.

Amhari disenaraikan sebagai felo Eisenhower Fellowships yang berpejabat di AS.

Eisenhower Fellowship menggambarkan Amhari sebagai seseorang yang telah bekerja secara langsung dengan Perdana Menteri sejak 2009 mengenai dasar-dasar ekonomi negara dan belanjawan tahunan.

"Beliau juga merupakan ahli tetap Majlis Ekonomi Malaysia, dan ahli strategi dalam talian untuk kehadiran Perdana Menteri di internet," katanya.

Amhari telah disenaraikan sebagai pengarah bahagian ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Tahun lalu, Amhari menerima darjah Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran "Datuk" daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah atas sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam.

Pada majlis anugerah itu, Amhari disenaraikan sebagai pegawai khas kepada perdana menteri.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS