Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Datuk Seri Rafidah Aziz perlu memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengkritik bekas Perdana Menteri dalam isu permit kereta yang diluluskan (AP).

Wakil Melaka, Datuk Mohd Said Yusof berkata, Rafidah telah membuat salah dan beliau perlu memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir untuk menyelesaikan konflik tersebut.

"Bukan perkara susah untuk memohon maaf. Cukuplah dengan berkata, maaf. Orang Melayu cepat memberi maaf...tidak perlu memegang al-Quran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan terima kasih ke atas ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Mohd Said yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, beliau hairan mengapa kereta dari China, Korea Selatan dan Thailand begitu mudah memasuki pasaran tempatan sedangkan Proton tidak dapat memasarkan kereta mereka di negara tersebut.

"Saya difahamkan Proton terpaksa membelanjakan RM1 bilion bagi membina pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum kereta Proton dijual di negara tersebut.

Kemasukan kereta luar

"Mengapa perkara ini berlaku sedangkan kita tidak pernah mengenakan syarat sedemikian kepada kereta dari China," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Said mahu kerajaan memandang serius masalah ini kerana kemasukan kereta luar tanpa batasan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada Proton tetapi 500 vendor yang kebanyakannya orang Melayu juga terjejas.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Jasin itu juga mahu kerajaan terus membantu Proton kerana ia tidak boleh dibandingkan dengan Korea Selatan dan Jepun yang telah lama membuat kereta sendiri.

Beliau menggamatkan dewan apabila mencadangkan supaya pembahagian AP diamanahkan kepada Setiausaha Agung Umno yang seterusnya mengagih-agihkannya di peringkat bahagian.

"Kalau satu bahagian dapat 40 AP, ada 191 bahagian semuanya, ini bermakna tak habis pun 8,000 AP...itu kalau satu bahagian dapat 40 AP. Dengan ini tak adalah Umno susah-susah cari duit untuk buat program," katanya.

Wakil Kelantan, Datuk Mohd Zain Ismail mempersoalkan mengapa syarikat yang sama mendapat AP dan dengan jumlah yang banyak.

Katanya, pemberian AP perlu dikaji semula kerana ia menjadikan orang yang telah kaya menjadi bertambah kaya itu sedangkan orang miskin tetap miskin.

Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang itu juga mendakwa penguatkuasaan Lembaga Disiplin Umno tidak komprehensif kerana ada orang yang tidak terbabit dengan politik wang dikenakan hukuman oleh lembaga tersebut.

Graduan menganggur

Sementara itu, wakil Kedah, Mohd Rozai Sapian mendakwa Skim Latihan Graduan (SLG) yang melibatkan peruntukan RM500 juta gagal kerana tidak berupaya membantu graduan menganggur mendapat pekerjaan.

Katanya, SLG ini hanya memberi keuntungan kepada kepada syarikat yang menjadi penyedia latihan kepada graduan menganggur yang menjalani latihan dengan mereka.

"Lebih baik kita menghantar graduan menganggur itu menjalani latihan di restoran atau hotel kerana selepas tamat latihan mereka boleh menjadi pengusaha restoran atau pekerja hotel," katanya.

Wakil Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan mendakwa tindakan kerajaan melantik pegawai tinggi kerajaan yang bersara untuk bekerja secara kontrak menghalang kenaikan pangkat kakitangan awam.

Katanya, keadaan ini menyebabkan ada pegawai kerajaan merasa kecewa dan memilih menyertai sektor swasta dan ini merugikan sektor awam kerana kehilangan kakitangan yang berpengalaman.

Manakala Wakil Pergerakan Wanita Umno, Datuk Norhayati Omar berkata, langkah segera perlu diambil bagi menangani masalah sosial yang dihadapi orang Melayu sehingga menjejaskan jatidiri serta akidah mereka terutama di kalangan generasi muda.

Ketika menyokong usul terima kasih ucapan dasar presiden, beliau berkata masalah sosial paling serius ialah gejala penyalahgunaan dadah dan perbuatan menukar agama.

Katanya, statistik pihak berkuasa menunjukkan kira-kira 60 peratus penagih dadah di negara ini terdiri daripada orang Melayu dan ini pula menjurus kepada merebaknya penyakit sindrom kurang daya ketahanan (Aids).

Apa yang lebih malang ialah kebanyakan mereka yang menghidap Aids adalah kalangan surirumah yang mendapat penyakit itu daripada suami mereka yang menagih dadah, katanya.

Norhayati berkata, gejala ingin menukar agama di kalangan gadis Islam juga amat membimbangkan dan memerlukan perhatian serius kerajaan.