Sebuah syarikat kontraktor kerugian kira-kira RM1 juta selepas peti besi mengandungi wang tunai dan pelbagai barang berharga dilarikan dua lelaki yang memecah masuk pejabat itu di Jalan Seang Tek, di George Town awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata kejadian itu disedari pengurus syarikat kira-kira pukul 7.45 pagi semalam selepas mendapati kesan pecah di pejabat dan keadaan dalam premis itu yang berselerak.
"Siasatan berdasarkan rakaman CCTV di pejabat itu mendapati dua lelaki memasuki premis melalui tingkap di aras satu dengan memanjat belakang bangunan pejabat dan memecah masuk setiap aras premis bangunan lima tingkat itu," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata suspek memecah peti besi yang terdapat di aras tiga dan 4 pejabat itu serta melarikan wang tunai kira-kira RM700,000 serta beberapa barang berharga termasuk jam tangan berjenama.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 53 tahun di George Town, malam tadi bagi membantu siasatan dan suspek direman empat hari, katanya.
Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata polis menahan dua peniaga selepas mereka melarikan sebuah lori Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ketika anggota penguat kuasa mahu merampas barang-barang perniagaan di tapak perniagaan tanpa lesen bertentangan Balai Bomba Bagan Jermal, Jalan Tanjung Tokong di George Town malam tadi.
Beliau berkata dalam kejadian pukul 8.45 malam itu, kira-kira 20 penguat kuasa MBPP yang menaiki dua van serta sebuah lori ke kedai makan milik dua peniaga berusia 28 dan 34 tahun kerana berniaga tanpa lesen dan permit perniagaan.
"Ketika penguat kuasa turun dari kenderaan untuk menjalankan tugas dan pemandu lori ke belakang kenderaan itu, tiba-tiba dua lelaki berkenaan masuk ke bahagian pemandu dan melarikan kenderaan itu. MBPP membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.
- Bernama
