Jabatan Agama Islam Selangor dan Pahang dilapor gagal mematuhi undang-undang, yang menyebabkan warga asing bekerja sebagai buruh mudah berkahwin dengan rakyat tempatan.
Jabatan Imigresen menetapkan syarat ketat bagi warga asing untuk menikahi rakyat tempatan namun jabatan-jabatan agama dilihat tidak mematuhinya, lapor Berita Harian dalam laporan ekslusifnya hari ini.
Pengarah Jabatan Islam Selangor Datuk Harris Kassim turut mengakui pihaknya mengguna pakai syarat perkahwinan antara warga asing dengan rakyat di negara ini sama seperti yang ditetapkan untuk rakyat tempatan.
“Warga asing yang mahu berkahwin dengan rakyat tempatan perlu melengkapkan dokumen asas seperti visa, pas dan surat akuan memeluk Islam terlebih dahulu supaya perkahwinan boleh didaftarkan di negara ini.
“Syarat nikah tidak menyebut mengenai warga negara, malah tiada halangan jika mereka mematuhi syarat perkahwinan dan dokumen disahkan pihak berkelayakan. Warga asing juga tidak diwajibkan menghadiri atau memiliki kursus sijil praperkahwianan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman pula berkata tiada halangan mana-mana individu yang mahu berkahwin bagi mengelak maksiat dan ia sah jika menepati syarat.
“Biasanya, pihak berkuasa agama meminta pasangan menyelesaikan isu dokumentasi selepas pernikahan dijalankan. Kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan kepada taraf anak serta kerakyatan mereka di negara ini,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Mengikut Akta Imigresen 1956/63, buruh asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tidak dibenarkan berkahwin dengan rakyat tempatan dan jika ia gagal dipatuhi, mereka dikehendaki untuk pulang ke negara asal.
Bagi yang ingin berkahwin dengan rakyat tempatan, warga asing itu dikehendaki pulang ke negara mereka dan masuk semula menggunakan pas lawatan sosial selepas enam bulan kemudian.
Antara kesan yang berlaku sekiranya ia gagal dipatuhi adalah penceraian, muflis akibat pinjaman tidak berbayar dan yang paling membimbangkan anak yang dilahirkan ditakrif sebagai anak tidak sah taraf selepas permit kerja dibatalkan.
Mengikut laporan itu juga, Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah merekodkan 4,503 kes penceraian perkahwinan warga asing bagi tahun 2014 hingga 2016.
Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,067 kes diikuti Selangor 934 dan Wilayah Persekutuan 586 kes.
