Kira-kira 500 penduduk Jinjang Selatan Tambahan hari ini memohon bantuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya menghentikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada mengusir mereka.
Penduduk yang menghuni di 107 rumah yang terletak dalam sebidang tanah seluas 69 hektar diarahkan untuk mengosongkan kediaman masing-masing sebelum 18 Mei ini. Tanah berkenaan
diwartakan untuk dibangunkan semula oleh DBKL bersama-sama dengan Zil Land Sdn Bhd.
S Arutchelvam dari Parti Sosialis Malaysia, mewakili penduduk sejak bulan lalu, dan hari ini membentangkan kes mereka kepada Suhakam.
"Pendirian Suhakam berhubung pengusiran adalah bahawa rumah alternatif perlu dibina sebelum mengusir.
"Oleh itu, kami menggesa Suhakam untuk menghentikan DBKL daripada membuat pengusiran sebelum 18 Mei, adakan sesi dialog dengan semua pihak (berkepentingan)," kata Arutchelvam kepada Pesuruhjaya Suhakam Francis Johen Anak Adam dan pegawai Suhakam Helmi Fendy Mohammad Idris, sebelum menyampaikan memorandum.
Ketua Kampung Jinjang Selatan Tambahan A Ponnampalam berkata DBKL masih belum berjumpa dengan penduduk untuk membincangkan syarat-syarat perpindahan meskipun projek pembangunan semula itu telah disahkan empat tahun lalu.
Francis Johen berkata Suhakam akan mengkaji perohonan penduduk secara terperinci sebelum membuat cadangan kepada DBKL.
Notis pengusiran pertama, dikeluarkan pada bulan Mac lalu dengan tarikh akhir April 15, tidak dikuatkuasakan selepas penduduk menghantar petisyen kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz untuk menarik balik notis berkenaan dan memastikan rumah baru dibina.
Pada 18 April lalu, DBKL mengeluarkan notis pengusiran kedua di bawah Seksyen 72 Akta Jalan, Bangunan dan Akta Saliran 1974, yang membolehkan pihak berkuasa tempatan untuk merobohkan dan meruntuhkan bangunan kediaman penduduk.
Penduduk mendakwa mereka mempunyai Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk rumah berkenaan sejak 1969, dan dengan itu mereka bukan setinggan.
Mereka telah menolak dua tawaran sebelum ini yang dibuat oleh DBKL.
