Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Apakah masa depan Rafidah selepas menangis dan diejek perwakilan?
Published:  Jul 25, 2005 3:55 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Masa depan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz kini menjadi tandatanya selepas tercetusnya kontroversi pemberian AP kereta sehingga beliau menangis ketika sidang akhbar dan yang terbaru, diejek oleh perwakilan Umno dalam perhimpunan agung parti itu minggu lalu.

Isu tersebut menjadi topik paling hangat yang dibangkitkan oleh para perwakilan di perhimpunan agung itu, berhubung amalan pemberian AP yang menurut mereka, mengakibatkan jualan kereta nasional, Proton, merosot.

Kontroversi itu tercetus selepas Rafidah, yang merupakan antara anggota kabinet paling lama, dengan 25 pengalaman, mengkritik model Proton yang didakwanya 'bermutu rendah' dan menggesanya supaya syarikat itu meningkatkan dayasaing untuk berdepan dengan suasana pasaran semasa.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang bertanggungjawab melancarkan kereta nasional ini pada tahun 1980-an, marah dengan komen tersebut dan menyalahkan sistem pemberian AP yang mengakibatkan pasaran tempatan dibanjiri dengan import kereta di bawah harga.

Ketika perang mulut antara mereka memuncak, Rafidah, yang pernah menjadi orang kuat Dr Mahathir, menangis secara terbuka dalam satu sidang akhbarnya apabila beliau ditanya sama ada akan memohon maaf kepada Dr Mahathir.

Kejadian itu memeranjatkan kerana Rafidah, selama ini, dikenali sebagai "Wanita Besi Malaysia" dalam melaksanakan tugasnya.

Kitab al-Quran

Dalam berdepan dengan tuduhan berlakunya amalan pilih kasih dan kronisme dalam pemberian AP kereta itu, Rafidah telah bersumpah dengan al-Quran, dan tidak ada apa yang disembunyikannya, dan berulangkali menafikan khabar angin, yang beliau akan meletak jawatan.

Dan kontroversi itu sampai ke kemuncaknya Sabtu lalu, apabila ucapannya di Perhimpunan Agung Umno, untuk menjelaskan mengenai isu AP itu, diganggu dan beliau sendiri diejek oleh perwakilan yang hadir.

Rafidah memberitahu kira-kira 2,5000 perwakilan tersebut yang beliau telah menjadi mangsa dan difitnah sejak tercetusnya isu AP itu.

AP kenderaan diberikan kepada kaum Melayu di bawah dasar yang digubal untuk membahagikan kekayaan negara dan membantu mereka yang ketinggalan di belakang kum Cina.

Senarai penerima AP yang tidak pernah diumumkan sebelum ini, dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Isnin lalu, dan ia mencetuskan dakwaan berlakunya amalan kroni dan hanya mengkayakan segelintir individu sahaja.

Dalam senarai tersebut, empat orang pegawai tinggi kerajaan yang pernah bertugas di kementerian Rafidah, diberikan sejumlah lebih 28,000 daripada 67,158 permit yang dikeluarkan tahun ini sahaja.

Senasib seperti Gloria

Ismail Hashim, perwakilan Umno dari Perlis, berkata beliau terkejut apabila mengetahui hanya segelintir sahaja individu yang diberi AP dan menyamakannya (Rafidah) senasib dengan Presiden Filipina, Gloria Arroyo yang kini menghadapi desakan supaya meletakkan jawatan kerana tuduhan rasuah.

"Saya tidak mahu menyebut satu perkataan, tetapi lihat sahajalah apa yang berlaku kepada Presiden Arroyo di Filipina," katanya disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan.

"Kini timbul spekulasi mengenai (masa depan) Rafidah," kata seorang ahli Umno yang menghadiri perhimpunan agung Umno itu, kepada AFP.

"Dia bersikap kurang sopan kepada Dr Mahathir, dia bersikap ego," tambahnya.

Katanya, Rafidah patut akur teguran terhadapnya oleh mereka yang mahukan supaya supaya pembahagian AP dibuat secara adil dan telus.

"Bersumpah dengan al-Quran adalah tidak munsabah dan memalukan. Anda tidak perlu menggunakan al-Quran sebagai saksi, ianya keterlaluan. Orang ramai sedang mentertawakannya...,"

Manakala barisan kepimpinan tinggi kerajaan pula jelas kelihatan membisu ketika topik tersebut hangat perbahaskan dan Abdullah sendiri dilihat kurang berminat apabila diminta mempertahankan menterinya itu.

Ketika ditanya sama ada beliau merasakan ahli-ahli Umno berpuashati dengan penjelasannya itu, ahli Umno tersebut berkata" "Saya tidak tahu. Saya juga tidak mahu membuat sebarang andaian."

- AFP


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS