Paling Popular
Terkini

Pengusaha pusat peranginan di daerah Masjid Tanah di Alor Gajah menggesa kerajaan negeri Melaka menyelesaikan segera isu pencemaran pantai serta sungai terutama di Sungai Tuang yang tiada berpenghujung ekoran penternakan babi di kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Chalet, Resort dan Homestay Bumiputera Melaka Zakaria Othman, 54, berkata pencemaran dipercayai akibat limpahan air kumbahan babi di sepanjang pantai kira-kira 24 kilometer dari Pengkalan Balak hingga Kuala Linggi memberi kesan negatif terhadap sektor pelancongan di kawasan itu.

"Isu pencemaran sungai dan pantai disebabkan penternakan babi di kawasan ini telah lama berlaku dan sehingga kini tiada jalan penyelesaian dilakukan. Dari sehari ke sehari keadaan di sini semakin teruk akibat pencemaran ini kerana jarak pantai dan pusat penternakan babi di Paya Mengkuang hanya kira-kira satu kilometer sahaja.

"Selain pencemaran air, kami juga terpaksa berhadapan dengan bau busuk serta meloyakan dan ia turut mengganggu keselesaan pelancong yang menginap di pusat peranginan kami," katanya kepada Bernama di Alor Gajah hari ini.

Mengulas lanjut, Pengusaha D'Nelayan Beach Resort itu berkata isu pencemaran berkenaan juga menyebabkan pendapatan kira-kira 153 pengusaha pusat peranginan yang menawarkan 1,503 bilik penginapan di kawasan terlibat, terjejas kerana terdapat pengunjung yang memendekkan masa penginapan apabila berhadapan dengan situasi itu.

Katanya selain itu, ada juga pelanggan yang membatalkan tempahan bilik di saat akhir apabila mengetahui isu pencemaran bau dan air disebabkan penternakan babi daripada sumber luar.

Zakaria berkata rata-rata pengunjung menyalahkan pengusaha pusat peranginan di situ kerana tidak memaklumkan isu tersebut dan mendakwa mereka serta kerajaan negeri tidak sensitif terhadap isu berkenaan.

Beliau berkata apa yang dikesali, pihak berkuasa tempatan dilihat seolah-olah mengambil ringan isu pencemaran terbabit dan hanya mengambil tindakan turun padang apabila isu tersebut dibangkitkan dalam media.

"Ramai pengunjung yang datang ke sini mempersoalkan isu pencemaran tersebut dan kami di pihak pengusaha pusat peranginan hanya mampu memberi penjelasan dan berterus-terang tentang keadaan sebenar," katanya.

Katanya pihak pengusaha pusat peranginan yang terjejas secara langsung dan tidak langsung dengan pencemaran disebabkan penternakan babi di kawasan itu berharap kerajaan negeri segera membina ladang ternakan babi moden di Paya Mengkuang seperti yang diumumkan sebelum ini bagi menghentikan pencemaran yang berlaku.

Beliau berkata sistem kumbahan di kawasan penternakan babi di Paya Mengkuang disifatkan sebagai tidak bersistematik dan ketinggalan zaman kerana air kumbahan babi dilepaskan tanpa melalui proses yang sewajarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Chalet, Resort dan Homestay Bumiputera Melaka Rusdi Mohd, 38, berkata pencemaran sungai dan laut yang berlaku di sekitar pantai berkenaan turut menjejaskan pendaratan penyu yang menjadi satu daripada tarikan pelancongan di kawasan tersebut.

Pengusaha Restu Resort itu berkata pihaknya telah berusaha mempromosikan kawasan pelancongan di pantai tersebut sebaik mungkin tetapi usaha berkenaan tidak akan berhasil sekiranya isu pencemaran babi tidak diselesaikan segera.

"Keadaan air laut terutama di persisiran pantai menjadi hitam pekat kerana telah dicemari air kumbahan babi yang dilepaskan ke Sungai Tuang. Dulu ramai pelancong di sepanjang pantai tetapi berbeza dengan sekarang.

"Kebanyakan yang mandi pun mereka tidak tahu tentang pencemaran yang berlaku... kita sebagai pengusaha pun hanya boleh memaklumkan pengunjung yang menyewa di pusat penginapan kita," katanya.

Penduduk Kampung Padang Kemunting Abdul Halim Mokhtar, 44, pula berkata isu tersebut merupakan satu daripada kebajikan rakyat yang perlu ditangani dengan segera kerana pencemaran berkenaan melibatkan kira-kira enam kampung dan tiga taman termasuk Kampung Sungai Tuang, Kampung Telok Gong dan Kampung Lubok Redan.

"Kami mengetengahkan isu ini bukan bertujuan atau mempunyai kepentingan politik sebaliknya berharap kerajaan menangani perkara ini secara lebih serius dan dengan segera," katanya yang juga Ketua Pemuda Umno Cawangan Padang Kemunting itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS