Paling Popular
Terkini

ULASAN | Ketika 'sauh dilabuhkan' dan kapal PAS mula belayar membuat haluan baru di bawah slogan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), saya tertanya-tanya: bagaimanakah Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mahu dunia mengingatinya nanti?

Sama ada beliau akan dikenang sebagai presiden yang berjaya membawa parti itu ke Putrajaya sebagai peneraju sebuah kerajaan; atau sekadar mendapat pujian kerajaan yakni Perdana Menteri Najib Razak - hanya masa dan sejarah akan menentukan.

Sejarah mungkin tidak menipu. Tapi sejarah mencatat peristiwa-peristiwa - kecil atau besar - yang mahu dicatat atau diingat oleh pencatatnya.

Sejarah panjang perjuangan PAS dari era bermulanya reformasi, kemudiannya Barisan Alternatif dan akhirnya Pakatan Rakyat akan sentiasa dikenang sebagai zaman Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, tanpa menafikan Haji Hadi adalah pemain penting selain mereka berdua.

Daripada sebuah parti lebai dan kampungan, PAS diarusperdanakan di bawah slogan PAS For All.

PAS For All berakhir apabila BPMS mengambil alih. Zaman Haji Hadi adalah era BPMS. Ia membawa PAS kepada keadaan yang tidak selesa, malah boleh dikatakan bermusuhan dengan sekutu mereka sebelum ini, DAP.

Era BPMS juga membawa kepada perpecahan terbesar dalam sejarah PAS yang menyebabkan terbentuknya parti serpihan - Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dan yang terbaru, era PMS juga membawa kepada terbatalnya tahaluf siyasi atau kerjasama politik PAS dengan PKR.

Jadi makanan singa

Dalam Mathnawi karangan ulama sufi, Rumi, ada diceritakan tentang kisah sekumpulan haiwan yang takutkan singa yang mengganas. Singa itu kuat merajalela dan memburu apa saja haiwan untuk dijadikan makanannya.

Untuk menangani masalah tersebut, haiwan lain berpakat. Tahaluf siyasi tercapai di kalangan para haiwan. Mereka akan mencabut undi setiap hari untuk memilih haiwan yang akan diserahkan kepada singa sebagai habuan.

Dengan itu, mereka berjaya mengelakkan singa daripada mengganas secara rambang dan tidak perlu hidup dalam ketakutan. Cumanya, haiwan yang diundi mesti akur menjadi makanan sang singa.

Dijadikan cerita, tibalah pada suatu hari seekor arnab diundi untuk diserahkan sebagai makanan kepada sang singa. Maka beranglah sang arnab.

"Sampai bila kezaliman ini perlu dibiarkan?" katanya.

Maka arnab pun membatalkan tahaluf siyasinya dengan haiwan-haiwan yang lain.

"Biar aku saja mendepani sang singa dengan caraku sendiri," kata sang arnab. Arnab itu yakin dia punya kepintaran dan cukup matang untuk mendepani sang singa.

Anekdot tulisan Rumi itu berakhir dengan sang singa diperangkap ke sebuah telaga buruk dengan tipu helah arnab. Dan sang arnab diangkat sebagai wira oleh para haiwan yang kemudiannya hidup selamat daripada ancaman singa itu.

Haji Hadi dan PAS ada kemungkinan akan menjadi seperti arnab itu - wira kepada rakyat Malaysia yang sangat mereka jaga akan maslahahnya. Tapi kemungkinan itu hanya benar dan boleh berlaku dalam ekosistem hutan belantara yang hanya ada singa, arnab, anjing, babi, kuda, biawak dan lain lain.

Tidak ada demokrasi di kalangan haiwan. Kita pula telah mengangkat demokrasi sebagai sistem yang paling sesuai untuk hidup bernegara.

Tidak ada sebarang sifir atau formula dalam sistem demokrasi yang kita hidup sekarang memungkinkan PAS yang bersendirian mampu mengalahkan Umno, semudah memerangkap seekor singa ke telaga buruk.

Kemungkinan yang lebih logik adalah PAS bersama dengan Umno. Dan jika PAS bersama Umno, juga ada dua kemungkinan. Pertama, mereka bersama-sama terjun ke dalam telaga seperti sang singa. Atau kedua, PAS bersama dengan Umno meneraju Putrajaya.

Jika itu berlaku, rakyat akan menentukan - benarkah maslahah mereka dijaga PAS, atau PAS sebenarnya pengkhianat dan pembelot kepada perjuangan rakyat untuk membebaskan Malaysia daripada segala macam keburukan akibat salah tadbir urus berpanjangan oleh rejim Umno dan BN.

Dan jawapan kepada persoalan awal tadi - bagaimanakah Haji Hadi akan dikenang nanti - akan lebih mudah untuk kita jawab bersama-sama.


NAJMUDDIN YUSOFF seorang pengurus projek telekomunikasi yang gemar memerhati keletah politik negara, serta penggiat sastera.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS