Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Kapal terbang AirAsia melabuhkan dirinya di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike pada jam 9.15 malam waktu tempatan.

Perjalanan hampir empat jam sebelum itu tidaklah membosankan.

Berjalan di sepanjang lapangan terbang itu pula membuat aku terasa bangga apabila mengenangkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dari segi gahnya yang tidak pernah digugat oleh mana-mana lapangan terbang negara-negara membangun.

Seorang pegawai imigresen berdiri menyambut kami. Lelaki itu berbaju dan seluar putih. Bertopi putih seperti sang laksamana di atas bahtera. Segak lelaki itu bagaikan dia yang paling berkuasa di situ.

Rakan setugasku, Dr Muhyidden Nayem, bersalaman dan mereka berpelukan beberapa detik. Mungkin lama mereka tidak bertemu.

Kami hanya menunggu di situ. Kemudian mereka berbual sebelum Dr Muhyidden memperkenalkan kami kepada pegawai yang merupakan sahabat lamanya. Kami pun bersalaman dan dia melemparkan senyuman menyenangkan.

Untung datang dengan orang tempatan yang mempunyai kenalan yang sebegini. Memang Dr Muhyidden dikenali ramai orang di Sri Lanka.

Bukanlah kami sengaja mahu mengelak sebarang prosedur biasa dilalui pengunjung luar, tetapi rasa dihargai itulah suatu pengiktirafan sebagai tetamu.

Tak Melayu hilang di dunia

Keluar saja dari kawasan imigresen, seorang lelaki berbaju batik pula melemparkan senyuman pada kami. Rombongan kami seramai 25 orang memang mudah dikenali.

Kami bergerak secara berkumpulan. Lelaki itu Ahmad Azoor adalah Setiausaha Coslam (Persidangan Melayu Sri Lanka) sebuah organisasi Melayu tempatan.

Beliau cuba berbahasa Melayu dengan kami. Oh... aku jadi teringat kata-kata Hang Tuah: "Tak Melayu hilang di dunia".

Hari itu Rabu, hari cuti. Hari Wesak dan ia diraikan dengan cuti umum dua hari di Sri Lanka. Bagi kebanyakan sekolah dan kedai, cuti itu dilanjutkan hingga Ahad. Cuti yang panjang.

Sempena hari Wesak, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganjurkan satu persidangan antarabangsa di Colombo. Perdana Menteri India, Nepal dan Bhuttan turut hadir.

Walaupun Gautama Buddha lahir dari istana raja India, ajarannya subur di luar India seperti Nepal, Myanmar, Indo-China, Singapura dan sebagainya.

Persidangan itu seperti memperlihatkan usaha India menjadi kuasa yang dapat menyatupadukan penganut Buddha secara global.

Namun China yang mempunyai fahaman komunisme telah cuba lebih agresif untuk mengglobalisasikan Buddha demi kuasanya.

Fikiran kadang-kadang kurang jujur

Hotel di Colombo dipenuhi para peserta persidangan itu yang datang dari serata dunia. Para sami Buddha berpakaian oren dan coklat memenuhi ruang lobi. Namun sesetengah peserta nampaknya berpakaian satu serba putih.

Entah mungkin dihasut rasa prejudis dalam hati ini, aku tertanya-tanya: Bukankah sami-sami Buddha ini biasanya membawa tabung meminta derma daripada orang ramai?

Mereka hidup dalam penuh kesederhanaan dan membuang nikmat keduniaan bagi mencapai nirvana.

Apakah mereka guna wang derma itu untuk tinggal di hotel lima bintang ini?

Fikiranku kadang kala memang berlaku tidak jujur pada agama lain. Sedangkah aku sendiri menginap dalam hotel yang sama. Sikap double standard selalu menjadikan seseorang ego, tidak sedar diri, cemburu dan degil dengan pandangan sendiri.

Ini bukan soal kerjaya, status, bangsa atau agama. Ini adalah persoalan nilai yang tertanam dalam kotak pemikiran dan jiwa seseorang. Yang diutamakan biasanya hanya untuk perut dan tembolok mereka saja.

Suhu Colombo sekitar 35 darjah Celsius. Panasnnya terasa berbeza dari tanah air. Basah baju, merimaskan sekali. Khabarnya hujan kurang turun kebelakangan ini. Tiada rahmatkah di tempat ini?

Jalan menempah maut

Sewaktu kecil kami selalu diberitahu bahawa setiap kali hujan turun, ia adalah petanda rahmat Tuhan. Secara logiknya kamipun berfikir bahawa kemarau adalah azab.

Jika kemarau panjang, kami pun memikirkan siapa pula pelaku dosa yang menyebabkan Tuhan menghantar azab berupa kemarau panjang itu.

Di setiap bulatan di jalan raya di Colombo, terdapat binaan-binaan patung Buddha yang duduk atau berdiri. Ada mantera dibunyikan hingga terdengar kuat pada setiap kali melewati kawasan itu.

Begitu juga di beberapa persimpangan jalan, ada patung Buddha di dalam bangunan bercermin. Pembesar suara pula memainkan rakaman ceramah Buddha.

Di sesetengah tempat, didirikan suatu pentas dan papan tanda besar yang dilengkapi lampu berwarna-warni serta rakaman syarahan.

Ramai orang berhimpun di depan papan tanda besar itu. Aku cuba mencari-cari orang yang berceramah. Rupa-rupanya ia adalah suatu rakaman suara sahaja.

Rakaman syarahan agama dibunyikan sebagai cara pihak yang berkenaan mengingatkan manusia tentang kehidupan berasaskan ajaran Buddha.

Tidak dapat dipastikan, sama ada mereka yang berhimpun beramai-ramai itu ingin mendengar ceramah agama atau sekadar ingin melihat lampu berwarna-warni serta berswafoto bagi merakamkan kewujudkkan mereka di situ sahaja.

Ahmad Jannah, pemandu ‘tut-tut’ menyebut bahawa rakaman ceramah itu hanya sempena perayaan Wesak dan akan berlanjutan selama seminggu sahaja.

Tiga empat malam itu, jalan raya di Colombo penuh sesak. Beberapa jalan ditutup. Cuaca pada malamnya lebih sejuk berbanding siang. Tepi pantai yang menghadap Lautan Hindi gelap gelita dipenuhi orang.

Hanya lampu gerai-gerai jualan permainan dan makanan yang sedikit menerangi pantai itu. Ada yang bermain-main layang di tengah kegelapan malam. Mereka ramai-ramai memenuhi pantai yang ombaknya hanya samar-samar datang ke arah kami.

Bunyi deburan ombaknya saja yang jelas kedengaran. Mereka bukan hendak menikmati keindahan pantai tetapi mahu merasai cuaca dingin yang menyenangkan.

Di sepanjang jalan utama ada satu pameran arca yang diperbuat daripada kertas dan dihiasi dengan lampu berwarna-warni. Bentuk arca itu pelbagai, seperti suatu rekaan yang diambil daripada falsafah Buddha.

Ada arca bunga teratai, roda, piramid dan sebagainya. Agaknya itu satu pertandingan antarabangsa. Di jalan-jalan raya juga ada gerai yang menyediakan makanan percuma kepada orang ramai.

Namun untuk merasai makanan itu, seseorang perlu berbaris panjang selama berjam-jam.

Perut berpintal, tekak loya

Ada banyak gerai juga. Ada yang menyediakan nasi beriani dan ada yang hanya menyediakan air oren. Bergantung pada kemampuan.

Acara ini diadakan tiga hari berturut-turut. Alangkah untung jika Buddha lahir setiap hari!

Hon dari motor beroda tiga atau ‘tuk-tuk’ bersahut-sahutan. Sebuah papan tanda di hotel itu menyatakan bahawa pihak mereka tidak menggalakkan pelanggannya menggunakan ‘tut-tut’ atas faktor keselamatan. Tetapi kami sukakan kelainan.

Deretan ‘tut-tut’ mahu cepat. Mana yang boleh celah, mereka mencelah. Janji mereka dapat lepas dan dapat jalan. Duduk di dalam ‘tut-tut’ memang bagai menempah maut.

Rakanku, Dr Riduan Tony, berkata itulah natijah daripada sistem pendidikan yang hanya melahirkan pesaing. Siapa dapat mendahului, mendapat tempat pertama dan nombor itu hanya dimiliki oleh seorang saja.

Sesiapa ketinggalan akan mengutip nombor yang berbaki sehinggalah yang tercorot akan memperolehi penghinaan dan rendah diri. Untuk perjalanan dari Restoran Manhattan Fish Market ke Hotel Galadari, kami dikenakan bayaran 240 rupee.

Ia bukanlah mengenai jumlah bayaran itu sangat sebaliknya pengalaman yang seolah-olah mempertaruhkan nyawa.

Sesampai kami ke destinasi, rasa perut bagaikan berpintal dan tekak berasa loya. Hampir saja kami muntah. Itulah kelainannya.


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei. Ketika ini berkhidmat di Universiti Teknologi Petronas.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS