Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib: Pembatalan perjanjian dengan IWH-CREC muktamad
Diterbitkan:  May 17, 2017 3:39 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Pembatalan perjanjian Bandar Malaysia adalah muktamad dan laporan berita mencadangkan sebaliknya adalah "salah", kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

The Star Online pada Isnin lalu melaporkan Perdana Menteri China Li Keqiang mahu Najib mengekalkan perjanjian dengan konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Corporation Kejuruteraan (CREC).

"Berbeza dengan beberapa laporan yang salah, penamatan perjanjian sebelumnya adalah muktamad, dan ia tidak akan diteruskan semula.

"Proses pemilihan untuk pemaju induk akan melibatkan kriteria yang ketat, termasuk prestasi yang telah terbukti, kemampuan menyiapkan projek, rekaan kandungan, dan keupayaan kewangan untuk menyiapkan projek sebesar ini.

“Kita akan memastikan tawaran yang mempunyai nilai tertinggi diperolehi," katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata, TRX City dan Bandar Malaysia Bhd tidak lama lagi akan mengumumkan proses permintaan untuk cadangan (RFP), menjemput 'penyataan minat' bagi peranan pemaju induk Bandar Malaysia.

Beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dilantik sebagai pengerusi kedua-dua TRX City dan Bandar Malaysia, dan akan mengetuai pasukan yang bertanggungjawab secara keseluruhan bagi projek ini, selain menjana pendapatan bagi baki aset hartanah 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Selain itu, dalam usaha untuk memastikan negara dan rakyat mendapat manfaat sebanyak mungkin, Kementerian Kewangan akan mengekalkan pemilikan 100 peratus Bandar Malaysia," katanya.

"Sebagai tapak pembangunan terbesar di Malaysia, yang mempunyai kedudukan strategik utama di ibu negara, ia akan menjadi sebuah pusat bandar baharu bagi Kuala Lumpur dan komuniti baharu yang berkualiti sebagai tempat tinggal orang muda dan keluarga, pusat baharu yang berkembang maju bagi perniagaan kecil dan besar, serta destinasi menarik bagi semua, termasuk pelancong, untuk menikmati kesenian, kebudayaan dan segala yang Malaysia tawarkan," katanya.

Beliau berkata bukan sekadar pejabat dan menara kediaman, kerajaan mahu Bandar Malaysia menjadi pemangkin untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan pekerjaan, termasuk bagi KL Internet City yang baharu - hab utama Zon Perdagangan Bebas Digital yang pertama di dunia.

"Kita ingin mewujudkan pembangunan ikonik untuk memacu pertumbuhan pelancongan. Kita juga ingin membina nukleus pengangkutan untuk Malaysia, dengan Bandar Malaysia sebagai pusat utama bagi Keretapi Laju Kuala Lumpur ke Singapura, laluan Mass Rapid Transit (MRT), KTM Komuter, Airport Express Rail Link dan 12 lebuh raya," kata Najib.

Beliau menjelaskan berdasarkan kepada kepentingan projek ini, penting bagi Bandar Malaysia mempunyai kepimpinan, rakan kongsi dan struktur pemilikan yang tepat bagi memastikan potensi penuhnya dapat direalisasikan, untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.

"Saya yakin di bawah kepimpinan Irwan, prospek dan pembangunan Bandar Malaysia akan terus diperkukuhkan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata dengan perkembangan ini, kerja-kerja Jawatankuasa Budiman, yang ditubuhkan pada 2015 untuk menyelia program rasionalisasi 1MDB , ditamatkan.

Pada 3 Mei, TRX City mengumumkan perjanjian penjualan saham IWH CREC yang melibatkan 60 peratus modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd, terbatal berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

IWH CREC merupakan 60:40 usaha sama antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd.

Semasa kunjungan beliau ke China baru-baru ini, Najib berkata konglomerat multinasional China, Wanda Group dan kerajaan Malaysia telah membincangkan mengenai kemungkinan perbadanan itu menjadi pemaju induk projek mega Bandar Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas menemui pemilik Wanda Groups dan hartawan terkemuka China, Wang Jianlin.

Najib percaya Wanda Group mampu untuk mewujudkan Bandar Malaysia dan bersedia untuk membincangkan kemungkinan membangunkan Bandar Malaysia dengan konglomerat itu.

"Kami tidak membincangkan butiran terperinci atau perjanjian," katanya.

Lihat Komen
ADS