BERITA

MIC berhak tegur pihak 'bermain api'

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Mei 2017, 11:07 tengahari

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk P. Kamalanathan berkata, sebagai parti politik yang matang, pihaknya berhak menegur sesiapa sahaja yang cuba ‘bermain api’ dengan mengancam perpaduan kaum.

"Amalan retorik dan menyemai bibit-bibit kebencian yang tidak kondusif yang dipraktikkan individu tersebut perlu ditangani segera.

"Kita berdiri kukuh dalam saf kepimpinan yang sama mendaulatkan Perlembagaan negara ini dan MIC tidak pernah dan tidak akan menyelar agama Islam yang menjadi agama rasmi di negara ini sejak dahulu lagi," kata beliau yang juga timbalan menteri pendidikan.

Kelmarin, PERKASA melancarkan ‘perang’ terhadap MIC berikutan kenyataan mengaitkan mereka berkenaan dengan kumpulan pengganas IS kerana mempertahankan Zakir Naik.

Setiausaha Agung PERKASA Syed Hassan Syed Ali berkata akan memulakan kempen tolak MIC bermula Jumaat ini di Parlimen Segamat yang merupakan kerusinya disandang oleh Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramanian.

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata, dari segi Perlembagaan juga, MIC tetap akur dan akan mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

"Namun begitu, apabila seseorang cuba mengugat kesejahteraan dan perpaduan rakyat dengan mengemukakan pandangan dan pendapat yang boleh mengancam keamanan, MIC perlu bangkit bersuara demi satu matlamat sama mempertahankan agenda perpaduan negara.

"Kita tidak sama sekali menentang agama Islam dan tetap menghormati rakan-rakan yang menganuti fahaman agama mereka. Namun pendirian kita adalah tidak bersetuju dengan campur tangan orang asing yang dilihat cuba melaga-lagakan rakyat berbilang kaum di negara ini," jelasnya.

Zakir, tambah beliau, yang kini disabitkan pertuduhan salah laku jenayah berkaitan penggubahan wang asing semakin berani mencetuskan bibit persengketaan kaum.

"Di negara India sendiri sudah memulakan proses siasatan berhubung kes Zakir yang juga sangat dikehendaki pasukan polis antarabangsa atau Interpol," katanya.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.