Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pilihanraya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut di Sarawak akan diadakan pada 4 Julai, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun.

Perkara itu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Kerusi Pujut dikosongkan selepas Dr Ting Tiong Choon dari DAP hilang kelayakan sebagai ADUN pada 12 Mei lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Wong Soon Koh (BN-Bawang Assan) mengemukakan usul terhadap Ting kerana didakwa memegang kerakyatan Australia.

Usul itu kemudian diluluskan menerusi pengundian yang menyaksikan 70 wakil rakyat menyokong penyingkiran Ting manakala 10 yang lain menentang.

Wong memetik Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak, yang menyatakan bahawa mana-mana individu yang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menjalankan hak-hak kewarganegaraan asing hilang kelayakan untuk menjadi ADUN.

DAP Sarawak berkata bahawa ia merancang untuk mencabar perkara itu di mahkamah.

Ditanya kesan terhadap keputusan pilihan raya jika mahkamah menolak status hilang kelayakan itu, pengerusi SPR Datuk Seri Hashim Abdullah berkata suruhanjaya itu akan menghormati keputusan mahkamah.

"Kalau mahkamah kata ia kekal, pada masa tu, kita kekalkan lah (keputusan mahkamah)  melainkan ada yang appeal (rayu)," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sehingga itu, SPR perlu melaksanakan tugasnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, dan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kerusi dikosongkan.

"Kalau kita nak tunggu mahkamah, bila mahkamah nak bersidang. Nanti tanya saya pula, ni (pilihan raya) bila nak buat," katanya.

Pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas, Ting memenangi pertandingan empat penjuru di DUN Pujut dengan majoriti 1,759 undi, menewaskan Hii King Chiong (BN),  Jofri Jaraiee (PAS) dan Fong Pau Teck (Bebas).

Hii sebelum ini berusaha membatalkan kemenangan Ting di mahkamah atas alasan yang sama tahun lepas, tetapi ditolak Mahkamah Pilihan Raya atas alasan teknikal.

 

Lihat Komen
ADS