Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Tidak berpuas hati dengan sikap pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa enggan mengambil memorandum bantahan, sekumpulan anggota Pemuda dan Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini merantai serta mengunci pintu pagar ibu pejabat suruhanjaya itu.

Sebelum mengunci pagar, mereka terlebih dahulu berkumpul di depan Menara SPR di Putrajaya selama kira-kira sejam bagi menyerahkan memorandum.

Malah, sementara menunggu pengerusi SPR turun, kira-kira 50 daripada mereka turut duduk di depan pekarangan bangunan berkenaan.

Kumpulan itu ingin menyerahkan memorandum kepada SPR agar menarik balik larangan pengedaran Rang Daftar Pemilik Tambahan kepada parti politik.

Mereka turut melaungkan "Hidup rakyat", "Bersih SPR" dan "Bantah larangan".

Terdapat juga sepanduk yang bertulis "Bersih SPR" dan "Jangan sekat RDPT" dibawa.

RDPT itu merujuk kepada Rang Daftar Pemilih Tambahan, iaitu senarai pengundi terbaru yang dipamerkan setiap tiga bulan oleh SPR.

Penyokong parti pembangkang itu ingin menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Bagaimanapun, menurut seorang daripada pegawai SPR yang enggan namanya disebut berkata, Mohd Hashim tiada di Putrajaya, sebaliknya beliau berada di Ipoh atas urusan rasmi.

Pada sidang media selepas itu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohd Sany Hamzan, berkata pihaknya tidak akan membuka mangga yang telah dikunci itu.

"Kita tak akan buka," katanya kepada pemberita.

Selain itu, menurut Sany lagi, ekoran keengganan SPR untuk menerima memorandum mereka, pihaknya merancang untuk menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kerana mendakwa SPR tidak memberi layanan yang adil.

Katanya lagi, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja agar campur tangan bagi tangani isu ketidakadilan layanan SPR kepada parti politik.

"Kami amat dukacita dengan pengerusi SPR kerana tak dapat menyerahkan memorandum yang sepatutnya diserah kepada pengerusi SPR. 

"Hari ini SPR gagal tunjuk kredibiliti mereka sebagai badan bebas dan adil dalam menjaga pilihan raya dalam negara," katanya.
Lihat Komen
ADS