Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rizeq ancam lancar revolusi putih dari Arab Saudi
Diterbitkan:  May 23, 2017 3:23 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

GLOBAL | Masih belum membebaskan dirinya daripada skandal sembang lucah dengan seorang janda, ketua Front Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab mengancam untuk melancarkan "revolusi putih" dari Arab Saudi.

Memberi kenyataan dikeluarkan melalui pimpinan utama FPI, Rizieq berpendapat, kerajaan Indonesia terus "menekan ulama dan membela penista agama".

"Jika rejim penguasa terus menerus menekan ulama dan membela penista agama, maka bukan tidak mungkin Rizieq Shihab akan mengumumkan revolusi putih dari tanah suci," kata Ketua Umum Dewan Pimpinan Pusat FPI, Sobri Lubis yang dipetik CNN Indonesia.

Bagaimanapun Sobri tidak menjelaskan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan mereka dengan "revolusi putih" itu.

Rizieq mempunyai pengaruh besar dan lantang mengetuai kempen menolak Basuki Tjahaja Purnama - atau Ahok - dalam pemilihan gabenor Jakarta baru-baru ini atas tuduhan menghina Islam.

Rizieq, 51, baru-baru ini pergi ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah berlaku ketika namanya disebut-sebut dalam skandal sembang seks dengan seorang ibu tunggal Firza Husein, kian tersebar.

Melalui media sosial, Rizieq dituduh bersembang mengenai seks dengan Firza menggunakan aplikasi WhatsApp. Turut tersebar beberapa keping gambar bogel wanita terbabit.

Bagaimanapun Rizieq mendakwa dia difitnah. Polis sudah memulakan siasatan terhadap kes berkenaan namun belum menyoal siasat ulama terbabit kerana dia berada di luar negara.

Polis berkata, mereka akan menunggu sehingga tempoh visa Rizeq tamat sebelum memulakan tindakan lanjut.

Beberapa tokoh cendekiawan Islam pula menyarankan Rizieq tidak melarikan diri sebaliknya pulang ke Indonesia untuk membersihkan namanya.

Sobri berkata, Rizieq bimbang dia dijadikan alasan serta mainan politik di Indonesia.

Katanya, beberapa kes yang dikaitkan dengan tokoh kelahiran Jakarta itu sengaja direka atas motif membalas dendam ekoran pembabitannya berkempen mengalahkan Ahok.

Menurut Sobri, Rizieq bukannya melarikan diri daripada pihak berkuasa, sebaliknya menunaikan nazar selepas Ahok kalah kepada Anies Baswedan pada 19 April lalu.

"Rizieq memang mahu pulang dan menemui polis tetapi menangguhkan niatnya selepas mendapat tahu dia menjadi buruan.

"Tambahan pula ada kemungkinan polis mendapatkan bantuan Interpol bagi menangkapnya, menjadikan beliau seolah-olah pengganas antarabangsa," katanya.

Justeru, kata Sobri, kepimpinan FPI berpendapat lebih baik Rizieq kekal di Arab Saudi buat sementara waktu sehingga keadaan benar-benar selamat untuknya pulang.

Lihat Komen
ADS