Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Time kata Anwar lebih popular tapi Mahathir menang'
Diterbitkan:  May 23, 2017 11:55 PM
Dikemaskini: 4:02 PM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata majalah Time pada masa lalu menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih popular daripada Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi bekas perdana menteri itu berjaya mengatasinya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Time hari ini yang mendakwa populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih teruk daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

"Hillary Clinton lebih popular daripada Donald Trump dan mendapat sokongan Presiden Obama, tetapi Trump menang jawatan presiden.

"Time mengundi Anwar Ibrahim sebagai 'Man of The Year' dan lebih popular daripada Mahathir tetapi Mahathir menang pilihan raya umum 1999," katanya.

Meragui keputusan tinjauan itu, Salleh juga berkata dakwaan Time tidak memberi makna kerana Najib memenangi parlimen Pekan dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum 2013.

"Yang dikatakan pandangan Time ini tiada kaitan dengan politik Malaysia dan tidak akan benar-benar mempengaruhi pendapat orang ramai kerana mereka yang menyokong pembangkang, atau sebaliknya, tidak akan beralih hanya kerana Time kata Trump adalah lebih popular daripada Najib di luar Pekan," katanya.

Pada tahun 2013, Najib memenangi parlimen Pekan dengan 51,728 undi untuk mengalahkan calon PKR yang memperolehi 15,665 undi.

Salleh juga mempersoalkan bagaimana Time mendapat kesimpulan bahawa Najib kurang popular daripada Trump.

"Bagaimana Time menjalankan tinjauan pendapat ini? Berapa banyak responden yang ditinjau dan di mana responden ini tinggal?

"Adakah Time mengatakan bahawa Najib dan empat pemimpin dunia kurang popular daripada Trump di Terengganu dan Kelantan atau di bandar New York?" Soalnya.

Majalah Time memasukkan Najib dalam senarai lima pemimpin dunia yang kurang popular berbanding Trump, dengan memetik skandal 1MDB dan berbilion deposit dalam akaun bank peribadinya.

Selain Najib, turut dinamakan ialah Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, Presiden Brazil, Michel Temer, Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dan Perdana Menteri Greece Alexis Tsipras.

Lihat Komen
ADS