Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan gesa k’jaan kurangkan duti import kereta
Diterbitkan:  May 24, 2017 4:33 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Susulan tindakan DRB-Hicom untuk menjual 49.9 peratus ekuiti dalam Proton Holdings kepada syarikat pembuat kereta China, Kumpulan Zhejiang Geely Holding, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang berkata kerajaan seharusnya mengurangkan duti import kereta.

Ini kerana, kata Tan, Proton bukan lagi sebuah syarikat pengeluar kereta nasional.

"Biar kita jelas mengenai perkara ini. Proton tidak lagi menjadi kereta nasional selepas jualan kepada Geely China. Tiada asas untuk memberinya sebarang keistimewaan sebagai kereta nasional," katanya dalam posting di Twitter hari ini.

"Selepas penjualan Proton kepada China, saya fikir langkah seterusnya adalah untuk mengurangkan duti import kereta.

“Tiada lagi sebarang keperluan untuk melindungi Proton. Kereta harga murah untuk semua rakyat,” kata Tan.

Selain membeli pegangan 49.9 peratus dalam Proton, Geely juga akan membeli kepentingan 51 peratus yang dipegang oleh Proton Holdings dalam syarikat pengeluar kereta mewah British Group Lotus Plc.

Kedua-dua pihak dijangka menandatangani Perjanjian Definitif pada bulan Julai ini.

Kerajaan, sebelum ini mengarahkan DRB-Hicom, sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang dimiliki oleh jutawan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, supaya mencari rakan kongsi strategik untuk Proton Holdings sebagai sebahagian daripada syarat sebelum pinjaman mudah RM1.5 bilion disalurkan tahun lalu.

Geely Holding, adalah antara syarikat pembuat kenderaan penumpang terkemuka di China dan memiliki Kumpulan Kereta Volvo Sweden dan The London Taxi Company.

Adalah dilaporkan pada 2015 bahawa kereta import Malaysia adalah yang kedua paling mahal di dunia, selepas Singapura, disebabkan duti import yang tinggi.

Pada tahun 2015, kerajaan berkata, duti import sebanyak 30 peratus ke atas produk automotif sensitif, seperti kenderaan pasang siap (CBU), akan dihapuskan dalam tempoh 12 tahun.

Menurut laman web Persatuan Automotif Malaysia, tiada duti import yang dikenakan ke atas kenderaan yang diimport dari negara-negara Asean tetapi duti import 30 peratus akan dikenakan ke atas kenderaan yang diimport dari luar negara-negara Asean.

Kenderaan berkenaan juga tertakluk kepada duti eksais antara 75 peratus dan 105 peratus, bergantung kepada kapasiti enjin.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS