Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KDN panggil ketua pengarang The Star
Diterbitkan:  May 28, 2017 10:07 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memanggil Ketua Pengarang akhbar The Star susulan kandungan muka depan akhbar itu yang didakwa tidak sensitif kepada umat Islam di negara ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata pihaknya kecewa dengan akhbar tersebut kerana memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan, namun tajuk muka depannya tertulis 'Malaysia Terrorist Leader'.

"Esok kita akan panggil Ketua Pengarang akhbar berkenaan untuk mendengarkan penjelasan mereka berhubung penyiaran gambar dan tajuk di muka depannya hari ini.

"Jika KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab," katanya kepada pemberita di Terengganu hari ini, lapor Bernama.

Alwi berkata tindakan akhbar itu sangat mengecewakan memandangkan KDN telah memanggil pengurusan akhbar terbabit pada 23 Mei lepas untuk memberikan garis panduan mengenai penerbitan yang sepatutnya dikeluarkan.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai garis panduan berkenaan.

The Star semalam menyiarkan berita bertajuk 'Malaysia Terrorist Leader' di muka hadapannya, manakala sambungan berita seterusnya di halaman tiga akhbar itu.

Di bawah tajuk berita berkenaan, akhbar itu menyiarkan gambar umat Islam sedang mengerjakan solat Tarawih

The Star dalam permohonan maaf disiarkan di laman webnya hari ini berkata ia adalah amalan biasa bagi akhbar itu menyiarkan gambar solat Tarawih pada hari pertama Ramadan.

Katanya, secara kebetulan berita mengenai kumpulan pengganas itu disiarkan pada muka hadapan dan hari yang sama.

Halaman depan akhbar itu menerima kritikan ahli politik daripada Umno, PKR, PAS dan Parti Amanah Negara, yang mendakwa ia menyebabkan persepsi negatif terhadap Islam.

Selain itu, kumpulan hak Melayu, PERKASA menggesa kewujudan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangani isu melibatkan sensitiviti agama.

Lihat Komen
ADS