Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mengenali 3 wira di komuter Portland
Diterbitkan:  May 29, 2017 1:00 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

GLOBAL | Dua maut dan seorang lagi cedera parah selepas diserang lelaki yang mengganggu dua wanita Islam dalam sebuah tren komuter di Portland, Oregon pada Jumaat lalu.

Seorang daripadanya ialah anak muda yang baru saja menamatkan pengajian di sebuah kolej, manakala seorang lagi bekas tentera. Mangsa ketiga yang parah pula seorang pemuda kedai piza yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Mereka dilaporkan cuba meredakan keadaan apabila Jeremy Joseph Christian, 35, menjeritkan kata-kata menghina dua wanita dengan seorang daripadanya berhijab.

Pegawai polis tempatan, Pete Simpson, berkata akibat gangguan itu beberapa individu cuba campur tangan. Bagaimanapun Christian bertindak balas dengan menikam tiga lelaki sebelum melarikan diri.

Siapakah tiga lelaki yang kini dianggap wira oleh orang ramai itu?

Rick Best
Dia ialah veteran tentera AS yang digambarkan suka membantu sesiapa saja yang memerlukan.

Dia dan keluarganya menetap di Happy Valley sebagai juruelektrik selepas 23 tahun berkhidmat dalam angkatan tentera. Pekerjaan itu memang digemarinya kerana dia dapat meluangkan masa bersama keluarga.

Beberapa tahun selepas itu dia mencuba nasib untuk menjadi anggota majlis kerajaan tempatan di situ tetapi kalah dalam pemilihan.

Beberaoa bulan kemudian Best bertugas sebagai juruteknik dengan Majlis Perbandaran Portlan.

"Saya tak boleh duduk diam saja," katanya pada suatu temu bual dengan akhbar tempatan pada 2014.

Best digambarkan sebagai seorang lelaki yang tidak pernah lokek menghulurkan bantuan apabila perlu.

Dia dalam perjalanan pulang apabila melihat Christian mengganggu dua remaja perempuan dalam tren komuter berkenaan.

Best meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia belasan tahun, termasuk seorang perempuan berusia 12 tahun.

Taliesin Myrddin Namkai Meche
Selepas tamat dengan ijazah ekonomi dari Kolej Reed di Portland, Namkai Meche bekerja di sebuah syarikat perunding alam sekitar.

Rancangan terkininya ialah berumah tangga dan membesarkan anak-anak kerana dia baru saja membeli sebuah rumah.

Pensyarah Namkai Meche menggambarkan dia sebagai seorang pemuda yang mempunyai masa depan cerah - sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir akibat kecederaan parah dialaminya pada Jumaat lalu.

Berusia 23 tahun, Namkai Meche pernah mengambil mata pelajaran Pengenalan Islam semasa belajar di kolej berkenaan.

Menurut salah seorang pensyarahnya, Prof Kambiz GhaneaBassiri, pemuda terbabit memang menunjukkan minat mendalam untuk memahami bagaimana cara seseorang melihat dunia.

Namkai Meche juga, katanya, sentiasa cuba membantu rakan sekuliahnya.

"Saya masih ingat bagaimana dia bertanyakan soalan yang baik ketika saya mengajar," katanya.

Ketika kejadian, Namkai Meche sedang bercakap dengan ibu saudaranya. Dia diminta merakamkan insiden itu supaya dapat dijadikan bahan bukti untuk polis.

Micah Fletcher
Dia masih dirawat di hospital dengan kecederaan parah. Ibunya, Margie Fletcher, memberitahu tikaman Christian hanya berjarak 1 milimeter saja dari saraf utama leher anaknya.

Kata Margie, anaknya itu memang pernah campur tangan untuk membantu orang lain sebelum ini.

"Saya selalu bimbang dengan tindakannya itu," katanya.

Pada 2013 Fletcher pernah memenangi pertandingan puisi antiprejudis Islam di Portland.

Fletcher, 21, dalam perjalanan ke kedai piza tempat dia bekerja ketika terserempak dengan gangguan dilakukan Christian itu.

Kata Margie, dia tetap bangga dengan tindakan anaknya.

"Saya bersyukur kerana dia ada di tempat kejadian. Dua remaja itu mungkin masih hidup kerana tindakan Fletcher dan dua yang lain itu," katanya.

Polis sudah menahan Christian dan dia bakal berdepan dakwaan membunuh.

Lihat Komen
ADS