Keputusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil semula pelajar yang dipecat atas kesalahan menyertai perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menunjukkan "keadilan telah dilaksanakan," kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.
Pelajar tahun dua jurusan kejuruteraan elektrik, Rafzan Ramli disingikir serta-merta pada 22 Jun selepas jawatankuasa tatatertib mendapati beliau bersalah menyertai perhimpunan di Masjid Negara pada 8 Jun.
"Dengan membenarkan Rafzan belajar semula, itu bermakna universiti telah bertindak adil," kata pesuruhjaya Suhakam Prof Hamdan Adnan kepada malaysiakini .
Menurutnya, tindakan jawatankuasa tatatertib UiTM itu seharusnya dijadikan contoh oleh universiti-universiti lain.
"Apa yang penting, kebajikan pelajar itu telah diambil kira dan hak setiap insan untuk memperolehi ilmu telah dijamin," tambahnya.
Suhakam dan UiTM minggu lalu mengadakan perbincangan berhubung pemecatan pelajar itu selama dua jam di ibu pejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur.
Dalam pertemuan itu, UiTM memberitahu suruhanjaya itu bahawa ia bersedia menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap Rafzan.
Selain Hamdan, Suhakam turut disertai dua lagi pesuruhjaya Tan Sri Anuar Zainal Abidin dan Profesor Mehrun Siraj, sementara universiti itu diwakili penasihat undang-undang Profesor Dr Shad Saleem Faruqi.
Rafzan dibenar meneruskan pengajian semalam selepas UiTM meneliti surat rayuan pelajar itu yang dihantar pada 26 Jun lalu. Universiti itu juga membatalkan surat pemecatannya yang dikeluarkan sehari selepas perbicaraan tatatertib itu.
Dalam surat kebenaran universiti itu, Rafzan dibenarkan kembali ke kampusnya di Shah Alam untuk "meneruskan pengajian tanpa kehilangan apa-apa faedah."
Bagaimanapun UiTM tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan perbicaraan semula kes Rafzan di depan jawatankuasa baru.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) Izwandy Idris hari ini mengucapkan tahniah kepada Suhakam dan universiti.
"Majlis Perwakilan Pelajar mengucapkan tahniah kepada Suhakam dan terima kasih kepada pihak hal ehwal pelajar UiTM di atas keputusan tersebut," katanya, dalam satu kenyataan.
