Kelantan kerjasama proses ambil tanah projek ECRL

   

Kerajaan negeri Kelantan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Malaysia Rail Link Sdn Bhd untuk proses pengambilan tanah bagi pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Pelabuhan Klang di Selangor.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata walaupun ada beberapa perkara masih belum selesai antara pihak pemaju dan kerajaan negeri ketika ini, namun beliau yakin ia akan dapat diselesaikan dengan baik.

"Ada beberapa perkara yang belum dibereskan dan ini sudah pasti memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri. Tetapi kita difahamkan kerajaan negeri akan beri kerjasama sepenuhnya terhadap (projek) ECRL dalam urusan pengambilan tanah untuk pembinaan (projek berkenaan)," katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan Khas dan Berbuka Puasa di Kota Bharu malam tadi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Darwis Abdul Razak.

Sementara itu Darwis berkata proses pengambilan tanah akan bermula pada Julai ini dan akan berlangsung selama 12 bulan.

"Kita akan ikut prosedur-prosedur tertentu bagi memastikan proses pengambilan tanah dapat dijalankan secara teratur dan pampasan akan diberikan pada kadar yang munasabah," katanya.

Difahamkan, proses pengambilan tanah itu membabitkan pemakluman melalui surat kepada pemilik-pemilik tanah yang telah dikenal pasti sebelum satu perbicangan diadakan dengan mereka yang terlibat.

Projek ECRL sepanjang 600 kilometer itu akan menghubungkan Lembah Klang dengan kawasan Pantai Timur melalui rangkaian perkhidmatan kereta api yang melalui Pelabuhan Klang, Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Jelawat di Bachok dan berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Terdahulu Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyerahkan sumbangan kepada 50 orang asnaf.

Majlis berkenaan turut menghargai jasa bekas Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha yang bersara pada 23 Mei lepas dan digantikan dengan Yahya Mamat.

- Bernama
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda