Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan kesal kakitangan hospital silap serah mayat mualaf

Tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan yang didapati tidak mematuhi garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) sehingga berlaku kesilapan dalam penyerahan mayat di Hospital Kajang dua hari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sedang membuat siasatan mendalam berhubung kejadian itu selepas pihak hospital berkenaan mengesahkan kesilapan tersebut.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kesal dan memandang serius insiden ini. KKM berpendirian ianya tidak sewajarnya berlaku di mana-mana hospital," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, pihak hospital dan unit forensik sudah pun mempunyai garis panduan serta SOP Perubatan Forensik yang menggariskan tatacara penyerahan mayat kepada waris.

Media hari ini melaporkan, akibat kesilapan penyerahan mayat seorang mualaf yang bernama Hassan Abdullah, 74, atau nama asalnya Lin Ah San @ Lim Ah San, menyebabkan mayat itu disempurnakan mengikut agama Buddha.

Unit Forensik Hospital Kajang dilapor menyerahkan jenazahnya kepada sebuah badan kebajikan.

Memetik kenyataan Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Mohd Azmi Md Zain, kekeliruan berlaku apabila terdapat dua mayat lelaki Cina di unit forensik itu yang mempunyai nama yang hampir sama yang dipercayai menjadi punca pengurusan unit forensik itu tersalah menyerahkan mayat.

Dr Noor Hisham berkata KKM telah mengeluarkan arahan penambahbaikan serta merta kepada pihak hospital tersebut bagi mengelak hal sama daripada berulang.

Mengulas lanjut, beliau berkata jenazah berkenaan merupakan satu-satunya penganut Islam dalam keluarganya dan sebelum ini mualaf tersebut menetap di sebuah rumah kebajikan di Kajang.

"Pengurusan abu mayat telah diserahkan kepada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan rumah kebajikan yang terbabit," katanya.

Sementara itu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mahu Hospital Kajang menjalankan siasatan serta menyediakan laporan terperinci berhubung kejadian berkenaan.

Pengerusinya Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa juga mencadangkan agar hospital itu menyemak dan menambah baik prosedur sedia ada agar perkara seumpamanya tidak berulang.

MAIS juga menggesa semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dengan memberi kenyataan tidak tepat terhadap kes ini, kata Mohamad Adzib dalam satu kenyataan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS