Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu FGV: Zakaria enggan berundur, diarah bercuti
Diterbitkan:  Jun 6, 2017 11:04 AM
Dikemaskini: 4:17 AM

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad telah diarahkan bercuti berkuat kuasa serta merta oleh lembaga pengarah syarikat.

Memetik laporan bharian.com.my, arahan bercuti itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Bagaimanapun, tempoh arahan bercuti itu tidak dinyatakan.

Akhbar News Straits Times hari ini turut melaporkan, Zakaria tidak akan berundur dan akan mempertahankan dirinya dengan mendakwa tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Jika mereka mahu keluarkan saya, mereka boleh memecat saya dan saya akan heret perkara ini ke mahkamah," kata Zakaria.

Sementara itu, dalam salinan surat yang dihantar kepada Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan turut diedar kepada beberapa media, Zakaria mengemukakan tiga hujah dalam mempertahankan tindakannya.

Yang pertama ialah proses pembayaran dan syarat kredit kepada sebuah syarikat diluluskan dan diguna pakai oleh CEO sebelum beliau, yang membeli kelulusan kepada firma tersebut dengan syarat bayaran dan terma kredit selama 90 hari selepas produk dihantar, katanya.

Selain itu, syarikat tersebut adalah pe­langgan anak syarikat FGV berkenaan selama 20 tahun dengan rekod kredit yang baik, tambahnya.

Hujah kedua pula ialah kelewatan pembayaran juga berpunca daripada pemilik syarikat itu yang kini berdepan de­ngan masalah larangan perjalanan dan kini berada di Afghanistan, katanya.

Pada masa sama, ujarnya, Delima Oil masih berusaha mendapatkan semua bayaran tertunggak, terma­suk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat itu.

Manakala hujah ketiga pula, jelasnya, sebagai Presiden/CEO sejak 1 April 2016, beliau mendapati sukar baginya menguruskan semua anak syarikat Kumpulan FGV termasuk Delima Oil secara mikro dan secara keseluruhan­nya beliau tidak harus dipertanggungjawabkan dalam isu hutang tertunggak.

"Tambahan, jumlah tunggakan syarikat itu hanya 0.2 peratus daripada jumlah perolehan Kumpulan FGV," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata, lembaga pengarah FGV mungkin dirombak tidak lama lagi.

"Rombakan itu mungkin menyaksikan Felda menempatkan tiga wakilnya dalam lembaga pengarah FGV," kata Shahrir, memetik laporan NST Online.

Felda, katanya, selaku pemegang saham tunggal terbesar FGV tetapi tidak mempunyai seorang wakil dalam lembaga pengarah FGV, turut berasa bimbang dengan perebutan kerusi lembaga pengarah seperti yang dilaporkan.

"Kepentingan kami adalah untuk melihat momentum dalam penjimatan kos dan mengurangkan perbelanjaan tidak diperlukan yang berterusan. Terdapat beberapa kemajuan tetapi perebutan kerusi lembaga pengarah boleh memberi kesan negatif terhadap usaha ini," katanya.

"Tadbir urus baik adalah penting, juga. Keputusan lembaga pengarah tidak boleh dengan sewenang-wenangnya dikompromi. Tanggungjawab dan akauntabiliti peringkat syarikat dan kumpulan perlu jelas dan dapat dibezakan," tambah Shahrir.

Buat masa ini, sembilan ahli lembaga pengarah FGV adalah Mohd Isa selaku pengerusi, Zakaria sebagai ketua pegawai eksekutif selain Datuk Dr Omar Salim, Datuk Yahaya Abdul Jabar, Datuk Siti Zauyah Md Desa, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Datuk Mohamed Suffian Awang dan Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim.

Lihat Komen
ADS