Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Peguam Datuk Ghazi Ishak menafikan sebarang pengetahuan bahawa bayaran yang diterima daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2011, adalah daripada dana berkaitan SRC International.

Sementara itu, peguam Datuk Salehuddin Saidin mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menyiasat bayaran bersama yang diterima oleh firmanya daripada Najib pada tahun 2011.

Ghazi dan Salehuddin masing-masing memberitahu Malaysiakini dalam perbualan telefon berasingan bahawa pembayaran RM325,188 telah diagihkan antara mereka dan dua firma guaman yang lain.

Bayaran sebagai yuran guaman itu adalah untuk mengketepikan sepina kepada Najib untuk tampil memberi keterangan dan disoal-balas semasa perbicaraan kes liwat II yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walau bagaimanapun kedua-dua peguam itu menafikan sebarang pengetahuan bahawa wang berkenaan adalah berkaitan dengan SRC International

"Pada masa itu, saya fikir Najib tandatangan cek itu sendiri, ia tidak datang daripada mana-mana syarikat," kata Ghazi kepada Malaysiakini.

Salehuddin pula berkata "tidak ada sebab untuk mempersoalkan sumber wang itu" dan bahawa mereka tidak diwajibkan untuk menjawab soalan itu.

Najib melantik Ghazi dan Salehuddin pada tahun 2011. Ketika itu, skandal 1MDB masih belum didedahkan.

Mereka mengulas dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli awal hari ini mendakwa Najib menggunakan dana berkaitan SRC International untuk membayar seorang peguam.

Sementara itu, Salehuddin berkata, SPRM mengambil keterangannya tahun lalu dan menyoalnya mengenai pembayaran itu.

"Mereka menyoal tujuan pembayaran, dan dari mana wang itu datang," katanya.

Bagaimanapun peguam itu berkata beliau tidak tahu asal usul wang berkenaan, dan SPRM juga tidak menyebut bahawa kemungkinan ia adalah dana berkaitan SRC International.

Rafizi hari ini membuat dakwaan itu berdasarkan dokumen siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bocor telah dimuat-naikkan ke blog sprminsider.blogspot.com yang aksesnya telah disekat oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM).

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan dakwaan Rafizi dan telah juga menghubungi SPRM dan setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Shariffudin Tengku Ahmad untuk maklum balas mereka mengenai dakwaan Rafizi.

Ghazi menuntut permohonaan maaf daripada Rafizi kerana mengaitkannya sengan skandal SRC International.

'Dia tidak patut heret kami bersama ketika kami tidak tahu apa-apa," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS