Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Felda Global Venture Bhd (FGV) akan menjalankan siasatan audit dalaman membabitkan presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan itu, Datuk Zakaria Arshad.

Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, pihaknya juga bersedia untuk memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya diperlukan.

“Terserahlah pada SPRM nak masuk (siasatan), masuklah kita tak ada masalah. Buat masa ini kita cuma mengiyakan siasatan audit dalaman.

“Kalau SPRM nak masuk, siapa boleh tandingi kalau dia nak masuk. Kita nampak ada kesilapan sebab itu kita buat siasatan supaya lebih jelas,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Menara Felda, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya lagi, FGV juga telah memberikan surat kebenaran bercuti kepada tiga lagi pegawai kanan FGV dan anak-anak syarikatnya, sepanjang siasatan berlangsung.

Ini termasuk Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Abd.

Tambah Isa, Zakaria akan diberi peluang mempertahankan diri selepas selesai siasatan audit dalaman dan apabila Lembaga Pengarah FGV akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kelak, Zakaria boleh menafikan pembabitan atau mengaitkan pembabitan Lembaga Pengarah yang lain.

Katanya lagi, menjadi proses biasa dalam mana-mana organisasi besar mengarahkan individu yang terbabit dalam sebarang kes bercuti bagi memberi laluan kepada siasatan.

"Kita minta beliau bercuti untuk mudahkan siasatan, bukannya memberhentikan beliau.

"Jika siasatan audit dalaman tidak mendapati kesalahan, beliau tidak akan dikenakan tindakan," katanya.

Kemelut kepimpinan FGV dikatakan mempunyai kaitan dengan urusan kredit Delima Oil dengan sebuah syarikat pembeli minyak sawit daripada luar negara.

Zakaria setakat ini dilapor mempertahankan diri dan enggan berundur serta berhujah proses pembayaran dan syarat kredit yang digunapakai Delima Oil itu sudah dilaksanakan sebelum beliau menjadi CEO lagi.

'Nak lapor SPRM, laporlah'

Isa ketika ditanya mengenai dakwaan Zakaria berhubung wujud tangan ghaib dan urus niaga mencurigakan dalam FGV, berkata Ketua Pegawai Eksekutif yang dipaksa bercuti itu seharusnya melaporkan pada SPRM.

"Kalau dia (Zakaria) tidak puas hati (dengan arahan dan siasatan FGV) dan nak laporkan pada SPRM, laporlah," katanya.

Kemelut kepimpinan FGV dikatakan mempunyai kaitan dengan urusan kredit Delima Oil dengan sebuah syarikat pembeli minyak sawit daripada luar negara.

Zakaria setakat ini dilapor mempertahankan diri dan enggan berundur serta berhujah proses pembayaran dan syarat kredit yang digunapakai Delima Oil itu sudah dilaksanakan sebelum beliau menjadi CEO lagi.

Sementara itu, Utusan Online melaporkan, Zakaria mahu SPRM menyiasat keseluruhan operasi syarikat itu bagi menilai sekiranya berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.

Jelas Zakaria, walaupun diarahkan bercuti serta-merta oleh lembaga pengarah FGV, beliau sendiri sedia memberi kerjasama kepada SPRM untuk menyiasat syarikat perladangan itu termasuk ketika sebelum beliau menjadi CEO lagi.

“Saya sedia bekerjasama kepada SPRM. Saya tidak takut untuk berdepan situasi ini kerana yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mungkin banyak perkara yang boleh disiasat oleh SPRM.

“Dengan penglibatan SPRM sendiri, mungkin banyak persoalan boleh dirungkai dan diselesaikan,” katanya, memetik laporan tersebut.

Beliau turut mengakui berasa amat kecewa kerana diarahkan bercuti serta-merta kerana begitu sayangkan FGV.

Tugas diambil alih

Dalam pada itu, FGV dilapor memaklumkan Bursa Malaysia bahawa tanggungjawab Zakaria diambil alih oleh Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah.

Kata FGV, jawatankuasa eksekutif itu terdiri daripada Pengarah FGV, Datuk Dr Omar Salim, Datuk Zafer Mohd Hashim dan Ketua Logistik Kluster, Azman Ahmad susulan arahan bercuti yang dikenakan ke atas Zakaria.

"Lembaga pengarah turut melantik Pengawal Kewangan Kumpulan Sektor Perladangan, Aznur Kama Azmir sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Interim," ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, FGV turut memaklumkan firma perladangan itu menggantung semua transaksi perdagangan sahamnya hari ini bermula 12.05 tengah hari ini.

FGV berkata, pemberhentian tersebut turut membabitkan semua transaksi waran berstruktur yang melibatkan FGV.

“Kesemua transaksi akan disambung semula pada pukul 2.30 petang ini,” jelas syarikat itu.

Lihat Komen
ADS