Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selangor akan teliti dakwaan 'penyelewengan' mufti Wilayah

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) masih belum membuat sebarang keputusan susulan dakwaan “penyelewengan” Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad oleh pendakwah Zamihan Mat Zin.

Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid menjelaskan, Mais belum membuat sebarang keputusan berhubung dakwaan Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu.

"Ia baru di peringkat pembentangan (kepada Mais), belum ada sebarang keputusan buat masa ini.

"Keputusan kita tak dapat jangka.

“Kita akan bermesyuarat dan lihat, mungkin dalam masa beberapa bulan," katanya ringkas ketika dihubungi  Malaysiakini hari ini.

Kelmarin, Zamihan mencetuskan kontroversi selepas gambar slaid pembentangannya bertajuk "Penyelewengan mufti Wilayah Persekutuan dan kaitannya dengan ajaran Wahabi" kepada Mais menjadi tular.

Ia dikatakan dibuat kepada jawatankuasa tauliah majlis itu.

Zamihan di Facebook semalam mengakui membuat pembentangan itu tetapi tidak menghuraikan maksud “penyelewengan” yang didakwanya.

Beliau hanya mendedahkan ia berdasarkan muzakarahnya dengan Zulkifli di Putrajaya pada 19 Januari lalu.

Zamihan: Baca laporan

Sementara itu, Zamihan dalam Facebook terus berhujah bagi mewajarkan pembentangan itu, yang menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan sesetengah umat Islam.

“Sila baca kembali laporan muzakarah pada 19 Januari 2017,” tulis lewat malam tadi.

Menurut laporan Aswaja yang dikongsi kembali itu, beliau menegur penulisan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan pengelasan hadis ketika membahaskan isu berkaitan hukum mengepal tanah kubur tujuh kali dan membaca surah al-fatihah selepas solat fardu.

"Zamihan membuktikan hadis berkenaan bukannya palsu secara mutlak. Sebaliknya status hadis itu diperselisihkan di kalangan ulama.

"Walaupun admin (pentadbir) Pejabat Mufti mengkategorikan hadis kepal tanah sebagai palsu dengan bersandarkan hujah tidak menjumpai sumbernya dan tidak diperincikan kepalsuan berkenaan namun hadis-hadis berkenaan telah direkodkan oleh para ulama besar fikah dalam mazhab imam Shafie dan Hanafi.

"Justeru, perlu ada kethiqahan kepada ulama dalam hal ini. Maka sewajarnya kita bersifat tawaquf dalam menilai hadis yang tidak dijumpai sanadnya adalah terlebih baik dari membuat keputusan ianya sebagai palsu," kata laporan tersebut.

Laporan itu juga mendakwa Zulkifli terlibat memberi tauliah kepada tokoh-tokoh Wahabi untuk menyampaikan ceramah agama di Wilayah Persekutuan.

Zulkifli 'diam' dari Dubai

Zulkifli bagaimanapun masih tidak memberikan sebarang reaksi terhadap tuduhan berat itu, walaupun ramai pihak sudah tampil meminta beliau bersuara di Facebook beliau.

“Mohon penjelasan dari tuan mufti. Terima kasih,” tulis Azlina Idris yang berkongsi kembali gambar slaid pembentangan Zamihan itu.

Malaysiakini juga telah menghubungi Zulkifli dan sedang menunggu jawapannya.

Beliau bagaimanapun sedang berada di Dubai bagi mengikuti program ramah-mesra bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dan Duta Besar Malaysia di Abu Dhabi. Dan penduduk Malaysia di sana.

Lihat Komen
ADS