Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Insentif 'terpilih' Felda: ANAK anggap suatu penderaan
Diterbitkan:  Jun 11, 2017 11:49 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK), Mazlan Aliman menyifatkan tindakan memberi insentif kepada hanya sebahagian daripada peneroka oleh kerajaan sebagai satu penderaan ke atas warga Felda.

"ANAK dukacita dengan pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) di Felda Sungai Sayong semalam hanya 94,555 dari 112,635 peneroka sahaja yang mendapat insentif hari raya dan dividen FGV berjumlah RM780 setiap seorang.

"Ia merupakan tahun keempat berturut turut sejak 2014, peneroka Felda yang menguruskan kebunnya secara persendirian dan mengambil tindakan saman terhadap Felda dinafikan hak mereka.

"Langkah berterusan kerajaan dan Felda ini semata-mata dendam dan bersifat menghukum mana-mana peneroka yang berdikari atas kebun mereka sendiri bagi mempastikan pendapatan lebih baik dan mengelak bebanan hutang yang bertimbun akibat pengurusan tidak cekap Felda," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Najib mengumumkan setiap peneroka Felda di seluruh negara akan menerima duit raya berjumlah RM780 setiap seorang dengan Felda memperuntukkan RM47.28 juta bagi pengagihan duit raya manakala Felda Global Ventures (FGV) memberi dividen RM26.4 juta.

Bagaimanapun, kata Najib, peneroka yang tidak lagi bersama Felda, melakukan urus niaga tanpa kebenaran Felda dan menyaman agensi berkenaan tidak layak menerima insentif tersebut.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, adalah menyedihkan kerana meskipun sebahagian besar mereka masih menjual hasil di kilang milik Felda, peneroka yang menyahut seruan kerajaan dan Felda agar berdikari didera sedemikian rupa.

"Seperti yang selalu ANAK tegaskan, adalah hak peneroka menggunakan saluran perundangan apabila timbul pertikaian mengenai masalah yang dihadapi kedua belah pihak.

"Peneroka tiada pilihan lain disebabkan sikap berat sebelah Felda jika berlaku masalah seperti isu kadar perahan gred dan pengurusan ladang. Seharusnya kita menghormati pilihan peneroka kerana ia jaminan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Proses Timbang Tara yang ada dalam perjanjian antara Peneroka dengan Felda selalunya berakhir dengan ketidak adilan buat peneroka," jelas beliau lagi.

Dalam masa yang sama, Mazlan turut berkata, pelantikan Tan Sri Shahrir Samad sebagai pengerusi Felda nampaknya tidak membawa keputusan seperti yang diharapkan.

"Shahrir yang diharap membawa berita gembira buat seluruh peneroka felda tidak kira bersama Felda atau tidak nampaknya tidak kesampaian," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS