Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK mahu prosedur guru 'duka lara' distruktur semula
Diterbitkan:  Jun 12, 2017 11:01 AM
Dikemaskini: 3:02 AM

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berharap Kementerian Pendidikan akan menstrukturkan semula prosedur pertukaran guru 'duka lara' agar mempunyai mekanisme yang lebih jelas, telus dan boleh lebih dipercayai.

"Kebelakangan ini, timbul dakwaan segelintir guru yang baru ditempatkan di sesebuah sekolah tidak sampai tiga bulan mendapat keizinan bertukar, kononnya guru tersebut mempunyai 'kabel' di Kementerian Pendidikan.

"Hal ini akan menyebabkan ketidakpuasan hati guru-guru lain yang tidak mempunyai 'kabel', sama ada orang-orang politik atau pun orang dalam.

"Persoalannya, adakah ini suatu strategi untuk memancing undi dalam kalangan guru-guru menjelang pilihan raya umum ke-14," tanya Nik Nazmi.

Dua minggu lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya telah meluluskan sebanyak 2,261 permohonan pertukaran kes "guru duka lara" daripada 6,636 keseluruhan permohonan kategori itu.

Jelas beliau, kelulusan itu adalah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan seramai 1,421 guru akan ditempatkan di sekolah rendah dan 840 lagi di sekolah menengah di seluruh negara.

"Kita menerima permohonan dalam tempoh itu adalah sebanyak 20,470 orang guru dan daripada jumlah itu yang diluluskan sebanyak 2,825 orang dengan guru kategori kes "guru duka lara" adalah tertinggi mendapat kelulusan iaitu 2,261 guru iaitu 34.1 peratus," kata Mahdzir.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, pihaknya juga ingin tahu inisiatif yang dijalankan kerajaan kerana masih ramai guru yang menanti permohonan mereka diluluskan oleh pihak kementerian.

"Adakah kementerian berusaha memenuhi permohonan untuk guru berkhidmat di negeri masing-masing atau mengikut pasangan supaya berada dekat dengan keluarga tercinta.

"Bagi saya, kementerian tidak mungkin dapat meluluskan kesemua pertukaran dalam jangka masa yang pendek kerana permohonan di beberapa negeri bagi setiap tahun akan melebihi kekosongan jawatan di negeri yang dipohon oleh guru-guru.

"Oleh itu, dalam isu ini masih ramai pemohon yang tidak faham akan mekanisme diguna pakai oleh kementerian. Tempoh berkhidmat, status, dan jarak, langsung tidak dapat menjamin mereka berjaya dalam pertukaran," tambahnya.

Lihat Komen
ADS