Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rapid: Tren monorel perlu 13 pengubahsuaian kritikal

Rapid Rail Sdn Bhd dan Scomi Engineering Berhad mengenal pasti 13 pengubahsuaian kritikal berkaitan keselamatan yang perlu dilakukan terhadap tren monorel empat gerabak sebelum mengembalikannya untuk diservis.

Dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman berkata setakat 25 Mei lepas, Scomi mengenal pasti 26 pengubahsuaian yang perlu dibuat terhadap tren berkenaan.

Menurut beliau, daripada pengubahsuaian yang perlu dilakukan itu, 13 adalah begitu kritikal demi keselamatan dan perlu dilakukan sebelum tren berkenaan dikembalikan untuk diservis.

"Walaupun Scomi mengisytiharkan tren monorel empat gerabak itu layak beroperasi, tetapi sebagai pengendali rel bandar yang bertanggungjawab, profesional dan berpengalaman, Rapid Rail tidak akan mendedahkan keselamatan orang ramai kepada sebarang risiko," katanya.

Zohari berkata Rapid Rail akan hanya menggunakan kembali tren berkenaan setelah ia mendapat pengesahan daripada Scomi.

Kata Zohari, setelah jurutera Scomi mengesan kekurangan yang terdapat pada tren itu dan mencadangkan beberapa pengubahsuaian yang perlu dilakukan, tetapi ia tidak segera dilakukan dan ini meningkatkan risiko terhadap keselamatan penumpang.

"Perkara yang menjadi keutamaan segera Rapid Rail ialah memastikan Scomi, yang memperakui tentang pelbagai pengubahsuaian yang perlu dilakukan terhadap tren monorel empat gerabak itu, melakukannya dengan segera dan teliti.

"Tiada pihak yang lebih penting daripada orang ramai dan tiada perkara yang lebih penting daripada keselamatan pelanggan kami dan orang ramai," kata beliau.

Rapid mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons terhadap laporan media yang memetik kenyataan Scomi tentang keadaan tren monorel dan kelayakannya untuk beroperasi.

-Bernama

Lihat Komen
ADS