Semua majlis perwakilan pelajar (MPP) universiti-universiti utama negara ini menuntut pihak yang pernah menuduh pelajar pusat pengajian tinggi berhubung kebakaran Dewan Tunku Canselor memohon maaf dan menarik balik kenyataan masing-masing.
"Kami berasa amat kecewa dengan tuduhan tersebut. Kami lihat (tuduhan itu) amat tidak adil dan tidak wajar kerana pada waktu tersebut siasatan sedang dijalankan dan (kenyataan mereka) ini sebenarnya membawa prejudis kepada mahasiswa," kenyataan bersama 11 persatuan pelajar itu dipetik.
Menurut kenyataan itu, tuntutan pemimpin MPP itu dibuat selepas akhbar semalam melaporkan siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang menyiasat kejadian awal pagi 29 Jun itu, menolak sebarang unsur khianat sebagai punca kebakaran.
Laporan Berita Harian menyebut, jabatan itu mengenal pasti tiga sebab kejadian itu: sistem pendawaian yang telah usang, pertambahan penggunaan elektrik dan usia bangunan yang hampir 40 tahun.
Jabatan itu dilaporkan berkata sistem pendawaian DTC sudah usang kerana belum pernah diganti sejak bangunan itu dibina. Penggunaan tenaga elektrik di dewan itu pula meningkat kerana pemasangan pelbagai peralatan semasa persiapan menganjurkan 'Simposium Penegasan Arah Tuju Idealisme Mahasiswa di Alaf Baru' yang dirasmikan penutupannya oleh Perdana Menteri pada 1 Julai.
Kebakaran yang memusnahkan 90 peratus bangunan itu menyebabkan kerugian lebih RM12.4 juta dan turut memusnahkan 1,800 jubah serta 2,000 topi akademik untuk majlis konvokesyen yang dijadualkan bulan depan.
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mendakwa kejadian itu mempunyai kaitan dengan golongan "pelajar yang militan" dan "kemungkinan dipengaruhi golongan tertentu."
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim dilaporkan berkata beliau "tidak menolak kemungkinan kejadian kebakaran DTC adalah perbuatan khianat yang dirancang" ketika mengulas tangkapan dua pemimpin pelajar, termasuk presiden MPP Universiti Malaya Mohamad Fuad Mohd Ikhwan, minggu lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Bersihkan nama siswa
Turut ditahan mengikut akta itu, aktivis pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.
Sementara bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, sebagai penganjur bersama simposium itu, pula dilaporkan berkata beliau "mengesyaki kebakaran itu adalah satu sabotaj yang dirancang bagi menggagalkan acara itu".
Dalam kenyataan yang sama, 11 pemimpin pelajar itu juga turut meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - juga sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) - mengadakan mesyuarat tergempar bagi menyampaikan penjelasan kerajaan berhubung tindakannya terhadap pelajar, khususnya penahanan mengikut akta ISA.
Mereka juga menuntut segala label negatif yang tidak berasas seperti "mahasiswa militan" dan "mahasiswa antikerajaan" dihapuskan daripada sebarang perbincangan melalui media massa utama.
"Ini penting bagi membersihkan nama kami sebagai generasi harapan negara. Sekali gus demi memperlihatkan kami juga bermaruah dan mempunyai semangat untuk sama-sama membangunkan negara," kenyataan itu dipetik.
Selain itu, MPP juga mendesak dua aktivis pelajar itu dibebaskan segera daripada tahanan ISA.
"Kami kecewa dengan tuduhan atau alasan yang tidak jelas berkenaan dengan penahanan mereka. Kami ingin tahu sejauh manakah penglibatan mereka ini dengan aktiviti yang dikatakan sebagai 'mengancam keselamatan negara'," kata mereka.
Majlis perwakilan pelajar itu daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Univerisiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Teknologi Petronas.
