Konsortium E-Mutiara memasang peralatan Sistem Penyelenggaraan Kenderaan pada setiap bas ekspres miliknya bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandunya.
Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail berkata alat itu akan mengesan kesalahan pemandu di semua perjalanan dan dipantau dalam sistem yang disediakan khusus di Ibu Pejabat E-Mutiara untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan.
"Setiap pemandu diberi latihan khusus mengenai perkara itu kerana perjalanan di kawasan selekoh, naik dan turun bukit akan direkodkan oleh sistem tersebut dan kita akan dapat mengenal pasti ketidakpatuhan mereka akibat kecuaian," katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menyampaikan sumbangan zakat kepada 398 warga miskin, ibu tunggal, anak yatim, pelajar miskin dan mualaf, di Hentian Gua Musang di Gua Musang malam tadi.
Che Ibrahim berkata pemandu bas ekspres syarikat itu juga diberi markah sebulan sekali di atas penilaian dengan sasaran mendapat A dan jika gagal mereka akan mengulangi kursus bagi mematuhi segala peraturan yang dikehendaki dalam sistem itu.
"Lebih memberi manfaat pula apabila setiap bulan ada pemandu mendapat gred A yang akan diberi bayaran insentif," katanya.
Che Ibrahim berkata kini 70 peratus daripada 70 bas ekspres milik syarikat itu sudah dipasang dengan peralatan itu dan dijangka sebelum menjelang akhir tahun ini akan siap dipasang kesemuanya.
Beliau berkata alat itu adalah tambahan kepada peralatan yang mengehadkan kelajuan perjalanan bas ekspres bagi memastikan keselamatan penumpang dan perjalanan mereka ke semua destinasi dalam keadaan selesa.
"Kita sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang, sebab itu kita mengambil pelbagai langkah meningkatkan ciri-ciri keselamatan mengikut keperluan semasa pada bas ekspres Mutiara," katanya.
Sementara itu, Che Ibrahim yang juga Pengerusi Eksekutif Hentian Gua Musang bekata pihaknya merancang untuk membina sebuah hotel dan membesarkan lagi hentian tersebut bagi menampung pertambahan pengunjung.
Katanya hotel yang dilengkapi 50 bilik itu bakal membolehkan pengguna yang dalam perjalanan terutama dari Kota Bharu-Kuala Lumpur berehat sebelum meneruskan perjalanan.
- Bernama
