Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
5 remaja ditahan kes Nhaveen akan dituduh membunuh - polis
Diterbitkan:  Jun 16, 2017 2:39 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Lima remaja lelaki yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes buli T.Nhaveen, akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh remaja berusia 18 tahun tersebut dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik.

Beliau berkata kes itu yang sebelum ini diklasifikasi mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh telah ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

"Kertas siasatan kes itu telah siap dan diserah kepada timbalan pendakwa raya hari ini. Seramai 15 saksi termasuk doktor yang merawat Nhaveen telah direkodkan keterangan.

"Lima remaja yang ditahan itu akan didakwa mungkin hari ini atau Isnin depan kerana kertas siasatan memang telah lengkap. Saya yakin dan pasti kes itu telah selesai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pulau Pinang, antara Ketua Perhubungan Antarabangsa Urusetia Ketua Polis Negara Datuk Mohamad Anil Shah dan Datuk Abdul Rahman Ibrahim yang bersara wajib.

Dalam kejadian 2.10 pagi Sabtu lepas, lima remaja berusia antara 16 dan 18 tahun dilapor memukul Nhaveen dan rakan baiknya T. Previin menggunakan topi keledar. Previin yang turut cedera dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang bagaimanapun dapat melarikan diri ketika mereka dikatakan cuba diheret ke padang berdekatan.

Nhaveen yang mengalami kecederaan parah dilapor turut mengalami kesan koyak pada duburnya akibat ditusuk objek tumpul serta kesan terbakar di bahunya.

Remaja itu yang koma sejak kejadian tersebut meninggal dunia di HPP petang semalam dan hasil bedah siasat mendapati Nhaveen yang bercita-cita menjadi ahli muzik itu mati akibat kecederaan di bahagian kepala disebabkan dipukul dengan benda tumpul.

Siasatan polis juga mendapati lima remaja yang disyaki terbabit dalam kejadian itu tinggal di kawasan yang sama dan memang suka membuli serta memeras ugut rakan-rakan mereka. Mereka juga dilapor terlibat dalam kes membabitkan seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam berusia 19 tahun yang cedera dipukul di Jelutong pada 5 Mei lepas.

Roslee berkata kelima-lima remaja terbabit termasuk dua pelajar tingkatan empat dan lima kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes pekerja kedai serbaneka itu.

"Pekerja kedai serbaneka itu juga memang mengenali lima suspek terbabit...dia yang sebelum ini menarik balik laporan polis yang dibuat telah tampil semula dan mahu siasatan kes berkenaan diteruskan selepas kes Nhaveen dilaporkan di media massa kerana bimbang menerima nasib yang sama.

"Lima suspek itu merupakan satu kumpulan tetapi tidaklah sampai terlibat dalam kongsi gelap, cuma macam samseng kampung. Mereka suka kacau serta buli rakan-rakan yang baik dan berperwatakan lembut. Setakat ini kami hanya terima dua laporan polis berhubung kegiatan kumpulan itu dan saya minta sesiapa yang pernah jadi mangsa mereka tampil membuat laporan," katanya.

Sementara itu, Roslee berkata polis memberi jaminan akan melindungi keselamatan Previin yang mendakwa dia dan keluarganya diugut oleh suspek terlibat serta mana-mana saksi lain juga akan diberikan perlindungan keselamatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS