Anwar tak tawar diri jadi PM jika HARAPAN menang

   

Ketua Umum PKR yang kini terpenjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau tidak akan menawarkan diri sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk jawatan perdana menteri, walaupun banyak pihak dalam PKR melihatnya begitu.

Langkah simbolik itu, Anwar berkata, adalah untuk menggalakkan HARAPAN memberi tumpuan kepada pilihan raya umum dan bukannya bertelingkah mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri jika pakatan pembangkang menang.

"Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pilihan raya umum (PRU), maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calun Perdana Menteri.

"Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan rakyat dalam PRU. Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan melalui partinya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dengan hasrat merangkul semua kekuatan dalam satu pasukan mantap menentang Umno-BN, adalah dirasakan wajar memastikan penyertaan semua pimpinan secara berkesan.

"Ini termasuk memanfaatkan kedudukan dan peranan Tun Mahathir (Mohamad). Agak kurang bijak untuk membuat sebarang andaian sebelum semua pimpinan parti menyatakan sikap dan usul tersebut dimuktamadkan.

"Keutamaan dasar menjurus kepada kebajikan rakyat dengan menolak kerakusan kuasa dan rasuah," jelasnya.

Justeru, ujarnya, HARAPAN perlu mengekalkan tradisi musyawwarah dan konsensus seperti mana pengalaman Pakatan Rakyat sebelumnya.

"Semua ketua parti mempunyai kedudukan yang sama, dengan pengerusi hanya sebagai penyelaras. Segala persiapan/agenda mesyuarat dikendali oleh Sekretariat Bersama mewakili semua parti," jelasnya.

Bagaimanapun, usul BERSATU untuk merombak struktur HARAPAN dengan pimpinan utama parti tersebut menguasai jawatan pengerusi dan presiden dikhuatiri akan merombak kerangka pakatan itu menjadikannya mirip BN, katanya.

Maka, tambah Anwar, kesediaan semua pihak dalam HARAPAN untuk meneliti semula dan meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal pakatan tersebut adalah dialukan.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda