Gerakan 9 negeri sokong regu Keng Yaik-Tsu Koon
Sehingga ini, sembilan badan perhubungan Gerakan negeri telah mengumumkan sokongan mereka terhadap regu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk jawatan nombor satu dan dua dalam parti itu.
Sehingga ini, sembilan badan perhubungan Gerakan negeri telah mengumumkan sokongan mereka terhadap regu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk jawatan nombor satu dan dua dalam parti itu.
Terbaru ialah sokongan daripada Gerakan Terengganu yang memutuskan perkara tersebut dalam mesyuarat badan perhubungan negerinya kelmarin.
Badan perhubungan Gerakan Selangor yang bermesyuarat tiga hari lalu, mengumumkan hari ini sokongannya terhadap regu Keng Yaik dan Tsu Koon.
Setakat ini, belum ada Gerakan Negeri yang membuat ketetapan atau menyokong Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Kerk Choo Ting untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti pada 27 Ogos ini.
Manakala negeri-negeri yang masih belum membuat sebarang ketetapan ialah Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Perlis berkecuali
Jawatankuasa Perhubungan Gerakan Kuala Lumpur dijangka membuat ketetapan pada mesyuaratnya pada 10 Ogos ini, manakala Gerakan Johor sehari selepasnya.
Hanya badan perhubungan Gerakan Perlis yang memutuskan untuk tidak membuat sebarang ketetapan dan mengambil pendirian berkecuali.
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Gerakan Terengganu Yap Kea Ping memberitahu Bernama, mesyuarat kelarin telah membincangkan mengenai pelbagai kaedah dan formula yang dikemukakan.
Akhirnya, kata beliau, semua ahli jawatankuasa bersetuju menyokong Keng Yaik sebagai presiden dan Dr Koh sebagai timbalan presiden.
Manakala Pengerusi Gerakan Selangor, Datuk Lum Weng Keong berkata ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa negeri Isnin lalu.
"Selepas menimbangkan pelbagai faktor dan mengadakan banyak perbincangan, mesyuarat tersebut yang dihadiri oleh 25 ahli jawatankuasa perhubungan negeri memutuskan untuk memberi sokongan penuh kepada Dr Lim Keng Yaik dan Dr Koh Tsu Koon bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

