Most Read
Most Commented
Read more like this

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato' Dr Anuar Zaini Md Zain hari ini enggan mengulas punca kejadian kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC) universiti tersebut.

Beliau memberitahu pemberita bahawa pihaknya masih menunggu laporan rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat dan hasil siasatan polis.

"Saya tidak boleh memberi apa-apa komen kerana belum menerima laporan rasmi," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian diploma Fakulti Perubatan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya di Kompleks Perdanasiswa pagi tadi.

Kebakaran yang memusnahkan 90 peratus bangunan DTC itu menyebabkan kerugian lebih RM12.4 juta dan turut memusnahkan 1,800 jubah serta 2,000 topi akademik untuk majlis konvokesyen yang dijadualkan pada Oktober depan.

Dalam laporan terperincinya awal minggu ini, jabatan bomba menolak sebarang perbuatan khianat sebagai punca kebakaran pada awal pagi 29 Jun lalu.

Akhbar Berita Harian Khamis lalu melaporkan jabatan tersebut mengenal pasti tiga sebab kejadian itu iaitu sistem pendawaian yang telah usang, pertambahan penggunaan elektrik dan usia bangunan yang hampir 40 tahun.

Unsur sabotaj

Jabatan Bomba juga dilaporkan berkata sistem pendawaian DTC sudah usang kerana belum pernah diganti sejak bangunan itu dibina.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting semalam berkata, pihak polis dijangka menyiapkan siasatan menyeluruh dalam tempoh terdekat ini, terutamanya untuk mengetahui sama ada terdapat unsur khianat dalam kejadian tersebut.

Beberapa pihak sebelum ini mendakwa kejadian kebakaran DTC , kemungkinan disebabkan perbuatan sabotaj yang dirancang oleh pihak tidak bertanggungjawab.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS